MANCHESTER United perlu membayar pampasan yang besar kepada Erik Ten Hag selepas memecat pengendali kelahiran Belanda itu.
Seperti yang dilaporkan oleh The Athletic, butiran penuh pakej pemecatan Ten Hag tidak diketahui tetapi didakwa ia boleh mencecah sehingga £16 juta (RM90.5 juta).
"Ten Hag mempunyai baki 21 bulan dalam kontrak lanjutan United dan telah dilaporkan bahawa pengendali berusia 54 tahun itu memperoleh £9 juta (RM50 juta) setahun," kata laporan itu.
Sebelum ini, United telah membayar beberapa nilai pampasan yang besar kepada bekas pengendali pasukan yang dipecat seperti Jose Mourinho pada 2018 yang dilaporkan menerima menerima £19.6 juta (RM110 juta).
Sementara itu, Louis van Gaal dan pasukan jurulatihnya dibayar £8.4 juta (RM47.51 juta) apabila dipecat pada 2016 selepas memenangi Piala FA.
Pada Isnin, United telah memecat Ten Hag selepas kekalahan 1-2 menentang West Ham United dalam aksi Liga Perdana Inggeris (EPL).
"Erik ten Hag telah meninggalkan peranannya sebagai pengurus pasukan utama Manchester United. Ten Hag dilantik pada April 2022 dan membawa kelab itu memenangi dua trofi domestik, memenangi Piala Liga pada 2023 dan Piala FA pada 2024.
"Kami berterima kasih kepadanya atas segala yang telah dilakukannya sepanjang bersama kami dan mendoakan yang baik untuknya pada masa hadapan," kata United.
Bekas penyerang United, Ruud van Nistelrooy, yang merupakan pembantu Ten Hag, kini akan mengambil alih sebagai pengurus sementara.