HPPK 2024: KUSKOP hargai penjaja, peniaga kecil

Iklan
Ewon (kiri) bersama Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim meninjau reruai usahawan ketika hadir di HPPK 2023 di Buhavan Square, Penampang, Sabah.

SHAH ALAM- Kerajaan akan menganjurkan sambutan Karnival Hari Penjaja dan Peniaga Kecil 2024 (HPPK 2024) sebagai simbolik tanda penghargaan serta pengiktirafan kepada golongan penjaja dan peniaga kecil atas sumbangan mereka terhadap ekonomi negara.

Karnival bertemakan Penjaja dan Peniaga Kecil MADANI: Berdaya Maju, Mampan, Lestari itu akan diadakan di PICCA Convention Center, Pulau Pinang pada 1 hingga 3 November ini.

Iklan
Iklan

Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP), Datuk Ewon Benedick berkata, pelbagai peluang atau faedah yang bakal diperoleh peniaga dan penjaja kecil menerusi karnival tersebut.

Menurutnya, mereka boleh memperkenalkan produk dan perkhidmatan yang ditawarkan di platform lebih luas, di samping menarik lebih ramai pelanggan.

Iklan

"Kehadiran orang ramai dan pengunjung daripada pelbagai latar belakang, penjaja serta peniaga kecil dapat membuka peluang untuk mengembangkan pasaran termasuk potensi menjangkau pelanggan di luar kawasan tempatan.

"Karnival ini menyediakan sesi penggunaan platform digital dan e-dagang seperti MyMall. Sudah pasti pengembangan digital dalam perniagaan mampu menembusi pasaran lebih luas,” katanya menerusi satu kenyataan.

Ewon (dua dari kanan) meninjau reruai Jualan MADANI Koperasi dan Usahawan di Labuan.

Iklan

Menurut Ewon, peniaga juga boleh mendapat maklum balas atau informasi berhubung perniagaan atau keusahawanan daripada agensi berkaitan.

Katanya, ini kerana agensi di bawah KUSKOP iaitu Bank Rakyat, Tabung Ekonomi Kumpulan Usaha Niaga (TEKUN) Nasional dan Institut Keusahawanan Negara Bhd (INSKEN) akan turut serta pada karnival tersebut.

"Oleh itu, inisiatif ini diharap dapat menambah pengetahuan dan kemahiran mereka dalam perniagaan termasuk pengurusan kewangan, pemasaran digital serta inovasi produk.

"Mereka perlu berani mengambil peluang dan cabaran dalam dunia perniagaan agar lebih kompetitif dalam pasaran yang semakin mencabar.

"Pada masa masa, untuk berjaya mereka perlu sentiasa mengamalkan nilainilai kejujuran, integriti dan keadilan ketika melakukan urusan jual beli sejajar dengan prinsip perniagaan sebagai satu ibadah,” ujarnya.

Jelas beliau, kerajaan mahu penjaja dan peniaga kecil lebih aktif dalam meningkatkan perniagaan, seterusnya menaik taraf hidup dan keluarga mereka.

"Segala bantuan, insentif dan program yang disediakan oleh kerajaan seperti pinjaman mikro, geran serta latihan perlu dimanfaatkan oleh peniaga,” ujarnya.

Mengulas mengenai perancangan masa panjang dalam usaha untuk membantu pertumbuhan kumpulan penjaja dan peniaga kecil di Malaysia, Ewon berkata, kerajaan memperkenalkan dasar Pembangunan Penjaja dan Peniaga Kecil Negara 2030 (D3PKN2030).

Poster Karnival HPPK Peringkat Kebangsaan Tahun 2024.

Menurutnya, menerusi dasar itu kerajaan berhasrat membangunkan ekosistem perniagaan yang lebih inklusif dan mampan.

"D3PKN2030 akan menggariskan lima teras strategik, 15 strategi dan 35 inisiatif dalam usaha mewujudkan ekosistem keusahawan penjaja dan peniaga kecil yang holistik serta kondusif.

"Objektif dasar ini adalah menambah baik tadbir urus, meningkatkan kapasiti dan keupayaan, selain menggalakkan perniagaan yang kekal serta berterusan,” ujarnya.

HPPK 2024 yang akan diadakan selama tiga hari itu terbuka kepada orang ramai dengan menawarkan pelbagai aktiviti menarik dan jualan barang asas dengan harga diskaun pada Jualan MADANI Koperasi dan Usahawan (JMKU).

Menurut Ewon, antara aktiviti menarik yang disediakan ialah jualan pelbagai produk, pameran, pertandingan permainan Mobile Legends, pertandingan mewarna Kelab Nuri, kenduri rakyat dan Forum Perdana Hal Ehwal Islam.

Katanya, semua pengunjung yang hadir dan mendaftar akan mendapat kupon pembelian bernilai RM10.

"Kali ini bilangan usahawan yang akan mengambil bahagian adalah seramai 360 orang, manakala 30 peniaga food truck, selain 22 agensi berperanan sebagai pempamer.

"Jadi saya menjemput semua yang berkelapangan untuk hadir bagi memeriahkan HPPK 2024,” kata beliau.