SHAH ALAM - PLUS Malaysia Berhad (PLUS) menjangkakan aliran trafik meningkat kepada 2.1 juta kenderaan sehari pada 30 Oktober, 2 dan 3 November ini sempena cuti perayaan Deepavali.
Pengarah Urusan PLUS, Datuk Nik Airina Nik Jaffar berkata, pihaknya telah membuat persiapan rapi bagi memastikan perjalanan pengguna jalan raya selamat dan selesa.
Selain itu, menurutnya, PLUS akan mengaktifkan 'Smart Lane' di 21 lokasi kritikal dan menambah baik kemudahan di hentian rehat dan rawat (R&R) demi keselesaan pengguna lebuh raya.
"PLUS komited untuk terus menaik taraf tandas di R&R, hentian sebelah dan plaza tol. Sepanjang tahun lalu hingga tahun ini, kira-kira RM37.5 juta dibelanjakan untuk menaik taraf serta menambah baik tandas awam di 60 lokasi kawasan rehat.
"Kami juga menyediakan jadual Cadangan Waktu Perjalanan MyPLUS atau MyPLUSTTA menerusi aplikasi PLUS bagi membantu mengagihkan trafik.
"Pada masa sama, kami ingin mengingatkan pengguna agar memandu berhati-hati, rancang perjalanan dengan teliti dan bersabar sepanjang musim perayaan ini kerana trafik dijangka meningkat," katanya.
Beliau berkata demikian selepas meninjau persediaan PLUS sempena perayaan Deepavali di Pusat Pemantauan Trafik Plus di Menara Persada PLUS pada Isnin.
Timbalan Ketua Setiausaha Kementerian Kerja Raya (Sektor Dasar dan Pembangunan), Datuk Zahrul Hakim Abdullah turut hadir meninjau Pusat Pemantauan Trafik PLUS sekali gus menyempurnakan Majlis Penyampaian Hadiah Kempen Sambutan Bulan Kebangsaan dan Hari Malaysia 2024.
Sebelum ini, media melaporkan pengguna lebuh raya di seluruh negara akan menikmati tol percuma pada 29 dan 30 Oktober sempena Deepavali.
Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi dalam kenyataan memaklumkan, tol percuma bakal dilaksanakan di semua lebuh raya bermula 12.01 tengah malam hingga 11.59 malam, 30 Oktober.
Bagaimanapun, beliau berkata, pengecualian itu hanya diberikan kepada kenderaan Kelas 1 (kenderaan persendirian) di semua plaza tol kecuali di sempadan negara iaitu Tol Bangunan Sultan Iskandar (BSI) Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) dan Tol Tanjung Kupang, Lebuhraya Laluan Kedua Malaysia-Singapura (LINKEDUA) Johor Darul Takzim.