KOTA BHARU - Timbalan Pengarah Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (Gerakan) Bukit Aman, Datuk Mohd Yusoff Mamat dilantik sebagai Ketua Polis Kelantan baharu berkuat kuasa pada Selasa.
Sebelum itu, tugas Ketua Polis Kelantan dipangku oleh Timbalan Ketua Polisnya, Deputi Komisioner Mohd Ali Tamby selepas Datuk Muhamad Zaki Harun bersara wajib pada 31 Ogos lalu.
Majlis serah terima tugas berkenaan turut dihadiri Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Ayob Khan Mydin Pitchay di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kelantan di sini.
Turut berlangsung majlis serah terima tugas Pengerusi Persatuan Keluarga Polis (Perkep) Kelantan antara pemangku, Norainon Ramli dengan Datin Hasnizan Hasan yang disaksi oleh Naib Pengerusi Perkep Malaysia, Datin Seri Zalena Mohd Ariffin.
Sementara itu Mohd Yusoff menyifatkan tanggungjawab yang diberikan untuk menerajui Kontinjen Kelantan sebagai satu tugas besar.
Katanya, beliau akan mengikuti penuh saranan Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain iaitu melaksana tugas dengan penuh dedikasi dan intergriti serta memastikan dasar-dasar kerajaan untuk kesejahteraan rakyat berjalan lancar.
Dalam pada itu, Ayob Khan percaya Mohd Yusoff mampu menggalas tugas sebagai Ketua Polis Kelantan dengan sebaik mungkin.
Ujarnya, beliau mahu seluruh anggota kekal patuh kepada intergriti pasukan.
Banjir: Polis sentiasa bersedia
KOTA BHARU - Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Ayob Khan Mydin Pitchay mengesahkan pasukannya sentiasa berada dalam keadaan bersedia untuk digerakkan sekiranya banjir berlaku.
Beliau berkata, beberapa mesyuarat di peringkat Pusat, Bukit Aman dan kontinjen sudah dilaksanakan sebagai persediaan.
"Ia melibatkan persediaan aset seperti bot, kenderaan dan sebagainya termasuk dari segi kekuatan pegawai serta anggota.
"Kita telah susun semua keanggotaan. Manakala dari segi cuti kita akan tengok kepada keadaan," katanya semasa sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kelantan di sini pada Selasa.
Sebelum itu beliau menyaksikan serah terima tugas Pemangku Ketua Polis Kelantan, Deputi Komisioner Mohd Ali Tamby dengan Datuk Mohd Yusoff Mamat yang merupakan Ketua Polis Kelantan baharu.
Menurut beliau, banjir bukan perkara baharu dan situasi itu membuatkan polis sentiasa bersedia.
Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) sebelum ini menjangkakan MTL akan berlaku pada awal bulan depan berdasarkan faktor klimatologinya.
Ketika ini, Malaysia masih berada dalam fasa peralihan monsun bermula 24 September lalu dan ia dijangka berterusan sehingga awal bulan depan.
Fenomena banjir juga dijangka melanda beberapa negeri juga mungkin disebabkan MTL.