KUALA LUMPUR - Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menempelak ahli Parlimen pembangkang yang disifatkan kurang mempertahankan golongan bawahan dengan membangkitkan cukai dan penarikan subsidi yang bakal dikenakan kepada golongan maha kaya.
Menurutnya, ahli Parlimen sepatutnya memberikan cadangan lain bukannya menghalang sebarang inisiatif kerajaan dalam menegakkan pengagihan kekayaan secara adil buat semua rakyat.
"Saya runsingkan kita ini tak banyak bicara pertahankan golongan bawahan. Nak pertahan ini apa dia? orang yang miliki saham RM2 juta.
"Tentu semua syarikat, individu ada tanggungjawab masing-masing. Apakah boleh kita putuskan bagi negara, secara progresif menafikan keperluan mengenakan cukai ke atas dividen ke atas milik saham berjuta ringgit?
"Jadi saya harap Yang Berhormat kalau ada cadangan, bagi cadangan lain. Tapi jangan bagi cadangan tak boleh (kenakan) cukai orang kaya...ini sangat aneh dan bertentangan dengan prinsip yang kita nak tegakkan pengagihan kekayaan secara adil," katanya di Dewan Rakyat ketika Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri pada Selasa.
Beliau berkata demikian ketika memberi reaksi terhadap soalan tambahan daripada Datuk Dr Nik Muhammad Zawawi Salleh (PN-Pasir Putih) yang membangkitkan berhubung cukai dividen yang bakal dikenakan ke atas individu berpendapatan tinggi.
Nik Muhammad Zawawi bertanya apakah mekanisme yang boleh dibuat kerajaan kerana tambahan cukai dua peratus ke atas dividen dijangka membebankan golongan terlibat dan risiko pelabur dalam negara berpindah ke luar negara.
Ia susulan cadangan kerajaan dalam Belanjawan 2025 untuk memperkenalkan cukai dividen pada kadar dua peratus ke atas pendapatan dividen melebihi RM100,000 yang diterima oleh pemegang saham individu bermula tahun taksiran 2025.
Sebelum itu, Khoo Poay Tiong (PH-Kota Melaka) membangkitkan isu sama dan meminta Anwar menjelaskan mekanisme yang akan digunakan berkaitan perlaksanaan cukai dividen berkenaan bagi pemegang saham individu.
Mengulas perkara itu, Anwar berkata, kerajaan mengambil kira rayuan daripada Perusahaan Kecil, Mikro dan Sederhana (PKMS) berhubung isu berkenaan dengan mengurangkan cukai kepada dua peratus berbanding lima peratus pada awalnya.
"Memang ada rayuan daripada PMKS untuk kecualikan mereka atas alasan berbeza dengan syarikat yang tersenarai.
"Jadi ada hujahnya, sebab itu kita buat keputusan mulanya (kenakan) lima peratus, kemudian turunkan dua peratus.
"Untuk setahun yang berpendapatan RM2 juta, (cukai) RM700, RM800 tidaklah membebankan," katanya.