JOHOR BAHRU - Polis mengesahkan sudah membuka kertas siasatan berhubung insiden pengibaran bendera negara luar oleh sekumpulan individu dalam satu acara perarakan festival budaya antarabangsa di Sentosa yang tular di media sosial.
Ketua Polis Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Raub Selamat berkata, pihaknya menerima satu video tular di media sosial yang memaparkan sekumpulan individu mengibarkan bendera negara luar jam 7 petang pada Isnin.
Menurut beliau, program berkenaan dianjurkan sebuah pertubuhan kebudayaan di Sentosa yang menghimpunkan penganut agama membabitkan lebih dari 10 negara.
"Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Johor Bahru Selatan (JBS) mengesahkan kejadian tersebut, satu laporan polis diterima kira-kira jam 3 petang semalam (Isnin).
"Susulan itu, satu kertas siasatan telah dibuka bawah Seksyen 3(1) Akta Lambang Kebangsaan 1949, Seksyen 505 (b) Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.
"Kita akan memanggil penganjur dan saksi-saksi terbabit acara berkenaan bagi membantu siasatan," katanya dalam kenyataan pada Rabu.
Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat diminta menghubungi hotline Johor Bahru Selatan di talian 07-2182323 atau mana-mana balai polis berhampiran bagi membantu siasatan.
Dalam tangkap layar video tular itu, kumpulan terbabit dirakam mengibarkan bendera negara China.