KULIM - Sebanyak 20 motosikal dikompaun selepas gagal mematuhi Peraturan 4(2), Peraturan-Peraturan Kualiti Alam Sekeliling (Bunyi Bising Kenderaan Motor) 1987 dalam operasi Penguatkuasaan Bunyi Bising Motorsikal pada Isnin.
Pengarah Jabatan Alam Sekitar (JAS) Kedah, Sharifah Zakiah Syed Sahab berkata, sebanyak 23 motosikal yang disita lebih awal telah menjalani pemeriksaan dan ujian lanjut oleh Unit Kenderaan Bermotor JAS.
Beliau memaklumkan, hasil pemeriksaan mendapati 20 daripada 23 motosikal terbabit telah gagal ujian bunyi bising.
"Hanya satu sahaja motosikal lulus, manakala dua lagi pemilik gagal hadir sesi ujian dan akan diambil tindakan susulan.
"Sehubungan itu, sebanyak 20 kompaun yang bernilai RM300 setiap satu telah dikeluarkan terhadap pemilik-pemilik motosikal tersebut di bawah Peraturan 4(2), Peraturan-Peraturan Kualiti Alam Sekeliling (Bunyi Bising Kenderaan Motor) 1987," katanya dalam kenyataan pada Selasa.
Tambah Sharifah Zakiah, kesemua pemilik kenderaan yang gagal ujian bunyi bising telah diarah menjalankan ujian semula ke atas kenderaan masing-masing selepas diambil tindakan pembetulan.
Katanya, operasi dijalankan dengan kerjasama Polis Diraja Malaysia (PDRM) Kedah di Cawangan Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kulim adalah satu usaha JAS bagi menguatkuasakan Peraturan-Peraturan Kualiti Alam Sekeliling (Bunyi Bising Kenderaan Motor) 1987.
Beliau berkata, JAS Kedah sentiasa komited untuk menguatkuasakan Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 bagi mengawal punca-punca pencemaran udara dari pelbagai aktiviti.
"Salah satu punca pencemaran udara terutama di kawasan perbandaran adalah dari kenderaan bermotor," katanya.
Kata beliau, operasi akan dilaksanakan secara berterusan bagi memastikan pematuhan ke atas peraturan-peraturan berkaitan dan seterusnya menjamin kualiti udara yang baik.
Menurutnya, JAS berharap semua pemilik kenderaan dapat memastikan kenderaan masing-masing mematuhi Akta Kualiti Alam Sekeliling, 1974 dengan melakukan pemeriksaan secara berkala dan tidak melakukan ubahsuai yang boleh melanggar peraturan yang telah ditetapkan.
Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES) menerusi JAS berusaha untuk menangani isu pencemaran alam sekitar dan mengalu-alukan orang awam untuk melaporkan aktiviti pencemaran alam sekitar.