60 peratus tapak kumpul bahan kitar terbakar sudah dipadam

Iklan
Khairul Ariffin memantau anggota bomba yang memadamkan kebakaran di kawasan pengumpulan kitar semula di Jalan Padang Tembak, Kawasan Perindustrian Pengkalan Chepa.

KOTA BHARU - Kebakaran tapak pengumpulan bahan kitar semula di Jalan Padang Tembak, Kawasan Perindustrian Pengkalan Chepa berjaya dipadamkan sehingga 60 peratus pada hari ketiga operasi pemadaman.

Ketua Zon 1, Penguasa Bomba Kanan 2 Khairul Ariffin Che Ramli berkata, semburan air dilakukan tanpa henti sejak kebakaran bermula.

Iklan
Iklan

Menurut beliau, semburan secara menyeluruh turut dilakukan bagi memastikan api tidak merebak ke kawasan lain.

"Bagaimanapun, pemadaman sukar dilakukan kerana barang kitar semula yang sudah dimampatkan disusun terlalu rapat dan tinggi sehingga tiga hingga ke lima meter.

Iklan

"Kami terpaksa menggunakan bantuan jengkaut untuk mengalihkannya bagi memudahkan semburan di lakukan di bahagian bawah," katanya ketika ditemui di lokasi itu pada Selasa.

Keadaan barang kitar semula yang hangus dalam kejadian di tapak pengumpulan bahan kitar semula di Jalan Padang Tembak.

Beliau memberitahu, seramai 31 anggota dan pegawai bomba masih bertungkus-lumus memadamkan kawasan seluas 0.48 hektar yang dipenuhi barang kitar semula mudah terbakar termasuk plastik, getah dan kain.

Iklan

Beliau memberitahu, bomba turut mendapat kerjasama Air Kelantan Sdn Bhd (AKSB) yang menggunakan enam lori tangki dan membekalkan air tanpa henti sejak kejadian berkenaan.

"Bantuan itu sangat membantu kerana keadaan air yang kurang memuaskan di kawasan ini," katanya.

Keadaan asap yang masih memenuhi ruang udara di kawasan kebakaran.

Media pada Ahad melaporkan sebuah kilang kitar semula di Jalan Padang Tembak, Kawasan Perindustrian Pengkalan Chepa terbakar menyebabkan 80 peratus kawasan kilang itu musnah.

Kebakaran melibatkan bahan sisa pepejal seperti getah, PVC, dan plastik yang mudah terbakar dan menyebabkan api merebak dengan cepat.


'Satu keajaiban'

KOTA BHARU -"Satu keajaiban kerana api tidak menghala ke bahagian sebelah sini selama tiga hari kebakaran berlaku," kata pengarah projek sebuah kilang reka bentuk dalaman, Faiz Fitri Makhtar, 31, mengenai kebakaran tapak pengumpulan bahan kitar semula di Jalan Padang Tembak, Kawasan Perindustrian Pengkalan Chepa.

Faiz Fitri berkata, kilang dan tapak pelupusan itu hanya dipisahkan oleh pagar zink namun tiada sebarang kerosakan berlaku.

Menurut Faiz Fitri, ketika kejadian kira-kira jam 6 petang itu, kesemua 12 pekerjanya sudah pulang manakala beliau masih berada di pejabat.

Beliau memberitahu, sebaik keluar dari pejabat, api mula marak setinggi kira-kira lima meter dan bahang panas memenuhi ruang udara kawasan itu.

"Ketika itu, saya reda jika dugaan ALLAH SWT mahu menarik rezeki yang dikurniakan-Nya namun tetap berdoa supaya semuanya selamat," katanya ketika ditemui di pejabatnya di sini pada Selasa.

Bagaimanapun katanya, dalam tempoh kebakaran, tiupan angin membawa asap hitam dan tebal hanya menghala ke sebelah kanan.

"Alhamdulillah, kami tidak terjejas tetapi bau asap tebal memenuhi kawasan ini," katanya.

Justeru, beliau menggalakkan semua pekerjanya memakai pelitup muka bagi mengelakkan mereka terhidu asap yang mungkin boleh membahayakan kesihatan.

Beliau turut memuji kecekapan anggota bomba yang menjalankan operasi pemadaman sehingga kawasan dalam kilangnya selamat

"Mereka sangat berusaha memadamkan api tanpa henti sepanjang tiga hari kebakaran dari merebak ke kawasan sekitar," katannya.

Sinar Harian sebelum ini melaporkan Kebakaran tapak pengumpulan bahan kitar semula di Jalan Padang Tembak, Kawasan Perindustrian Pengkalan Chepa berjaya dipadamkan sehingga 60 peratus pada hari ketiga operasi pemadaman.

Penguasa Bomba Kanan 2, Khairul Ariffin Che Ramli memaklumkan pemadaman sukar dilakukan kerana barang kitar semula yang sudah dimampatkan disusun terlalu rapat dan tinggi sehingga tiga hingga lima meter.