ALOR GAJAH - Penduduk di Kampung Balik Batu di Tanjung Bidara dikejutkan dengan penemuan mayat wanita yang terdampar di Pantai Tanjung Bidara di sini, pada awal pagi Selasa.
Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Superintenden Ashari Abu Samah berkata, pihaknya menerima laporan pada jam 7.45 pagi sebelum anggota ke lokasi kejadian dan mendapati mangsa berusia 40 tahun itu mengenakan pakaian renang.
Menurutnya, siasatan awal mendapati mangsa yang beralamat di kampung Londang, Masjid Tanah telah mendaftar masuk sebuah chalet berhampiran pada Isnin.
Katanya, mangsa dipercayai ke pantai itu seorang diri sebelum dipercayai lemas.
"Kita menemui barangan miliknya seperti selipar, baju sejuk dan kunci chalet atas tambak batu pantai.
"Difahamkan keluarga memaklumkan mangsa kebiasaannya berjalan atau mengembara seorang diri," katanya kepada pemberita di sini pada Selasa.
Tambahnya, pemeriksaan pada tubuh badan mangsa tidak menjumpai sebarang unsur jenayah dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut.
"Mayat mangsa kemudian dihantar di Unit Forensik Hospital Alor Gajah untuk proses bedah siasat sebelum dituntut waris keluarga," katanya.