PRN Sabah: PBS pertahan tujuh kerusi tradisi, minta lebih banyak kerusi

Iklan
Hajiji menerima cenderamata daripada Joachim ketika merasmikan Persidangan Perwakilan Tahunan PBS Ke-39 di Dewan Hongkod Koisaan, KDCA, Penampang.

PENAMPANG - Parti Bersatu Sabah (PBS) akan mempertahankan tujuh kerusi tradisi parti itu dan dalam masa sama bercadang meraih lebih banyak kerusi dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) yang bakal diadakan tidak lama lagi.

Pemangku Presiden PBS, Datuk Seri Joachim Gunsalam berkata, persiapan menghadapi PRN17 merupakan satu fasa penting dalam memastikan Sabah terus berada di landasan politik yang stabil dan kukuh.

Iklan
Iklan

"PBS dengan kekuatan dan pengalaman yang dimiliki, tekad untuk mempertahankan tujuh kerusi yang telah dimenangi sebelum ini.

"PBS juga bersedia untuk memperluaskan pengaruhnya dengan meraih lebih banyak kerusi dalam PRN akan datang, khususnya di kawasan kerusi-kerusi tradisi yang masih lagi memiliki jentera dan penyokong yang kuat pada PRN nanti.

Iklan

"Sebagai parti yang mewakili semua kaum, PBS yakin bahawa kekuatan kepelbagaian ini akan menjadi asas kepada kemenangan yang lebih besar," katanya ketika berucap sempena Persidangan Perwakilan Tahunan PBS Ke-39, di Dewan Hongkod Koisaan, Persatuan Kebudayaan Kadazandusun (KDCA) di sini pada Selasa.

Sehubungan itu, beliau yang juga Timbalan Ketua Menteri Sabah berkata, rundingan awal yang teliti perlu diadakan berkaitan pembahagian kerusi dalam kalangan Gabungan Rakyat Sabah (GRS).

Iklan

"Perancangan yang rapi ini akan memastikan tiada pertindihan atau perpecahan undi yang boleh memberi kelebihan kepada parti lawan.

"Lebih penting lagi, GRS harus memperkukuhkan kedudukannya sebagai pejuang hak-hak rakyat Sabah, dengan bertanding sebanyak mungkin kerusi dan mengelakkan dominasi parti-parti luar yang mungkin tidak memahami aspirasi sebenar rakyat negeri ini," katanya.

Sementara itu, Pengerusi GRS, Datuk Seri Hajiji Noor ketika diminta mengulas mengenai rundingan awal bagi pembahagian kerusi tersebut, beliau memaklumkan GRS akan mengadakan mesyuarat pada bulan hadapan.

"Ini kita akan usahakan, itu sepatutnya kita akan lakukan. Kita akan mengadakan mesyuarat GRS tidak lama lagi, Insya-ALLAH bulan depan ini," katanya.

Untuk rekod, tujuh kerusi yang dimenangi PBS dalam PRN lalu ialah Dewan Undangan Negeri (DUN) Lumadan, Kundasang, Telupid, Kiulu, Tamparuli, Matunggong dan Tandek.