SEREMBAN - Cubaan seorang lelaki meloloskan diri daripada diperiksa dengan memecut keretanya sejauh 16 kilometer dari Jalan Pinggiran Senawang hingga Rembau di sini pada Selasa gagal apabila berjaya ditahan polis.
Suspek berusia 52 tahun itu ditahan selepas kereta jenis Proton Gen2 dipandunya terbabas merempuh pagar perumahan Jabatan Kerja Raya (JKR) Rembau.
Ketua Polis Daerah Seremban, Asisten Komisioner Mohamad Hatta Che Din berkata, dalam kejadian pada jam 7 petang itu, polis yang menjalankan tugasan operasi bersepadu telah melihat sebuah kereta dalam keadaan mencurigakan.
"Pihak polis kemudian mengarahkan pemandunya supaya memberhentikan keretanya di Jalan Pinggiran Senawang.
"Bagaimanapun, suspek cuba melarikan diri dengan memandu laju ke arah Rembau dan sampai di persimpangan Ulu Sepri keretanya hilang kawalan serta terbabas melanggar perumahan JKR Rembau," katanya kepada Sinar Harian pada Selasa.
Menurutnya, pemeriksaan ke atas suspek tidak menjumpai barang salah namun semakan kad pengenalan mendapati suspek mempunyai 16 rekod lampau berkaitan kes dadah dan jenayah.
"Pihak polis telah membuat tangkapan dan suspek dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah Seremban untuk tindakan lanjut.
"Ujian saringan air kencing dilakukan mendapati suspek positif dadah jenis methamphetamine," katanya.
Tambahnya, kes diklasifikasikan sebagai kes menghalang penjawat awam dan disiasat di bawah Seksyen 186 Kanun Keseksaan serta Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.