Tahanan rumah tak boleh terpakai untuk Najib - MP Bukit Gelugor

Iklan
Ramkarpal merangkap Ahli Parlimen Bukit Gelugor ketika Sidang Dewan Rakyat di Bangunan Parlimen. Foto Bernama

KUALA LUMPUR - Kerajaan digesa memberi jaminan bahawa langkah perlaksanaan tahanan di rumah kelak tidak akan terpakai untuk kes-kes berprofil tinggi seperti melibatkan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Perkara itu disuarakan Ramkarpal Singh Karpal Singh (PH-Bukit Gelugor) yang turut mempersoalkan mengapa permohonan maaf secara terbuka dibuat bekas Presiden UMNO itu dibuat selepas pengumuman kerajaan mengenai penggubalan akta bagi membolehkan hukuman tahanan di rumah sebagai alternatif untuk kesalahan tertentu.

Iklan
Iklan

Beliau berkata, setelah lima tahun kes tersebut dibicarakan dengan 50 saksi memberi keterangan, permohonan maaf tersebut dilihat sebagai tidak relevan bahkan wujud elemen penghinaan terhadap mahkamah.

"Saya khuatir, sama ada undang-undang tahanan di rumah yang dicadangkan ini adalah digubal bagi tujuan untuk Najib.

Iklan

"Sekiranya ia digubal bagi Najib, kita perlu faham bahawa kesalahan yang beliau disabitkan pada masa dulu adalah kesalahan yang amat besar yang telah pun menjejaskan hala tuju negara ini.

"Jadi saya berpendapat, bahawa tahanan di rumah tidak boleh terpakai untuk kes-kes seperti yang melibatkan Najib... dan saya mahu agar kerajaan beri satu jawapan sama ada ia akan terpakai bagi tujuan tersebut," katanya ketika sesi perbahasan Rang Undang-Undang Perbekalan (Belanjawan) 2025 di Dewan Rakyat pada Selasa.

Iklan

Nasib Najib sama ada diperintah dibebaskan atau diperintah membela diri atas empat kes salah guna kedudukan untuk mendapatkan dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram sebanyak RM2.3 bilion akan diketahui pada Rabu.

Jika mahkamah mendapati pihak pendakwaan berjaya mewujudkan kes prima facie, maka bekas Perdana Menteri itu diperintah untuk membela diri.

Bagaimanapun, sekiranya pendakwaan gagal menimbulkan prima facie, beliau itu akan dibebaskan serta-merta.

Dalam pada itu, Ramkarpal Singh turut mempersoalkan sama ada Najib akan dikenakan sebarang tindakan atas kesalahan menghina mahkamah susulan permohonan maaf terbuka baru-baru ini.

Beliau juga mempersoalkan sekiranya permohonan maaf tersebut akan mengganggu proses keputusan atau proses mahkamah yang dijadualkan esok.

"Kita kena ingat bahawa dalam kes ini, sudah lima tahun berlalu, 50 saksi telah berikan keterangan.

"Permohonan maaf terbuka ini mungkin terdapat kemungkinan besar akan tertakluk pada prinsip sub judice.

"Jadi sekiranya seseorang itu memberi kenyataan awam, berkenaan dengan isu-isu yang dibicarakan dan diputuskan oleh mahkamah, bukankah ini merupakan penghinaan mahkamah? Adakah Najib telah melakukan satu perbuatan hina mahkamah? ini perlu diperjelaskan.

"Sekiranya ya, apakah apa-apa tindakan akan diambil terhadap beliau?," soalnya.