KUANTAN – Pihak pengurusan taska dan tadika swasta tidak menolak kemungkinan akan berlaku kenaikan yuran bagi menampung kos operasi dan perkhidmatan yang semakin membebankan.
Difahamkan, cadangan kenaikan itu bukan secara kebetulan dengan pengumuman kerajaan menaikkan kadar gaji minimum, tetapi bebanan itu didakwa telah lama ditanggung pengusaha taska swasta yang berpendapatan tidak menentu.
Pengusaha Taska Ar-Raudah, Zubaidah Husin berkata, kenaikan yuran seperti yang diuar-uarkan sebelum ini bergantung kepada pihak pengurusan taska atau tadika masing-masing.
"Isunya sekarang, jika kadar yuran dinaikkan adakah ibu bapa sanggup membayarnya? Kenaikan gaji minimum baru-baru ini sukar bagi perkhidmatan seperti taska swasta patuh, kerana pendapatannya bergantung kepada jumlah kanak-kanak yang dihantar dan yuran sedia ada yang dikenakan.
"Malah, isu gaji minimum ini, naiklah berapa banyak sekalipun, jika ibu bapa tidak sanggup membayar yuran yang sepatutnya, maka industri taska dan tadika swasta di negara ini akan tiba saat untuk pupus,” katanya ketika ditemui pada Selasa.
Sebelum ini, Pengerusi Persatuan Pusat Jagaan Kanak-Kanak Malaysia, Simon Ng dilaporkan berkata, penambahan kos operasi industri penjagaan kanak-kanak akan meningkat dengan ketara selepas kadar gaji baharu itu dikuatkuasa Februari tahun depan.
Kenaikan itu diramalkan antara 15 hingga 30 peratus bagi memastikan industri perkhidmatan, penjaga dan kakitangan pusat jagaan kanak-kanak, adalah penting untuk mereka menerima pulangan gaji yang adil.
Zubaidah berkata, ibu bapa mempunyai banyak pilihan, iaitu jika yuran taska atau tadika swasta naik disebabkan pematuhan kepada gaji minimum RM1,700 mereka boleh cari yang lebih murah seperti pengasuhan di rumah.
Katanya, taska atau tadika swasta wajib akur dan mematuhi peraturan ditetapkan oleh agensi berkenaan dan semua itu memerlukan kos.
"Begitu juga dengan gaji, guru lama sebelum ini dibayar RM1,500, tiba-tiba dengan pengumuman kerajaan, kami kena bayar RM1,700 kepada guru baharu. Ini tidak adil bagi bagi guru lama, nak naik gaji semua serentak memang sukar bagi kami,” katanya.
Seorang lagi pengusaha taska, Alimah Tahir, 54, berkata, kenaikan yuran akan berlaku, jika pihaknya menghadapi tekanan peningkatan kos dalam pelaksanaan gaji minimum.
"Kita pun ada kos kena tanggung, harap ibu bapa dapat memahami," katanya ringkas.
Sementara itu, pekerja swasta, Shuhaida Ruslam, 39, berkata, sekiranya kenaikan yuran taska pada tahun depan, pastinya membebankan kedudukan kewangannya.
"Sekarang ini hantar tiga orang anak, bayaran taska anak pun hampir gaji asas, rasa tak berbaloi.
"Jadi bila dicadangkan nak naik lagi kos mengasuh ini sampai 25 peratus maka memang tidak wajar kepada kami yang bekerja dengan pendapatan kecil," katanya.
Peniaga Muhammad Fazli Shamsuddin, 36, pula berharap kerajaan dapat mengawal harga yang ditetapkan oleh para pengusaha supaya tidak 'main harga' sama ada di kawasan bandar ataupun luar bandar.