Kesedaran mengenai kepentingan persijilan halal makin tinggi - Mohd Na'im

Iklan
Mohd Na'im Mokhtar

KUALA LUMPUR - Jumlah kutipan fi persijilan halal menunjukkan peningkatan setiap tahun, sekali gus menggambarkan kefahaman serta kesedaran mengenai kepentingan persijilan halal sebagai nilai tambah perniagaan dalam kalangan usahawan dan pihak industri semakin tinggi, Dewan Rakyat diberitahu.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na'im Mokhtar berkata, jumlah keseluruhan kutipan fi persijilan halal yang diterima Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), Majlis Agama Islam Negeri (MAIN) ataupun Jabatan Agama Islam Negeri (JAIN) seluruh negara dari tahun 2012 sehingga 2023 adalah sebanyak RM80,032,254.43.

Iklan
Iklan

Katanya, pada tahun 2012, jumlah kutipan fi pensijilan halal ialah RM3,641,120, 2013 (RM2,916,468.03), 2014 (RM4,210,323), 2015 (RM4,521,300), 2016 (RM6,361,300), 2017 (RM7,429,602), 2018 (RM7,997,901.40), 2019 (RM9,295,300), 2020 (RM8,872,800), 2021 (RM10,115,500), 2022 (RM10,783,600) dan 2023 (RM12,153,640).

Mohd Na’im berkata, jumlah pemegang Sijil Pengesahan Halal Malaysia (SPHM) daripada 2012 hingga 2023 ialah sebanyak 85,893 syarikat.

Iklan

Katanya, pada 2012, jumlah pemegang SPHM ialah 4,000 syarikat, 2013 (3,597), 2014 (5,276),2015 (5,441), 2016 (5,914), 2017 (7,073), 2018 (7,579), 2019 (9,016), 2020 (8,302), 2021 (8,879), 2022 (9,655) dan 2023 (11,161).

"Peningkatan ini juga menunjukkan bahawa pensijilan halal Malaysia dapat diterima baik oleh pihak industri dan pengguna di negara ini,” katanya ketika menjawab soalan Pang Hok Liong (PH-Labis) pada sesi soal jawab hari ini.

Iklan

Pang meminta Perdana Menteri menyatakan dengan terperinci jumlah keseluruhan yang dikutip oleh Jakim untuk pengeluaran sijil halal bagi setiap tahun dari tahun 2012 hingga 2023 dan jumlah sijil halal yang dikeluarkan untuk tempoh yang sama.

Dalam pada itu Mohd Na’im berkata, kerajaan sentiasa komited untuk meningkatkan jumlah permohonan pensijilan halal Malaysia daripada kalangan pemain industri termasuk usahawan industri kecil dan mikro.

"Dalam hal ini, kerajaan melalui Jakim dan MAIN atau JAIN mengadakan kolaborasi serta kerjasama dengan agensi pembimbing dengan matlamat mempersiapkan industri agar dapat bersedia dan memenuhi segala keperluan bagi permohonan pensijilan halal,” katanya. - Bernama