Cubaan seludup 'teh' dadah bernilai RM3.3 juta gagal

Iklan
Ribuan (tiga dari kiri) menunjukkan dadah yang dirampas.

NILAI - Cubaan menyeludup 105 kilogram (kg) dadah jenis methamphetamine ke Sabah gagal apabila berjaya dikesan Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM).

Ia terbongkar selepas serbuan dilakukan Cawangan Narkotik Ibu Pejabat JKDM di sebuah gudang logistik di Shah Alam, Selangor pada 15 Oktober lalu.

Iklan
Iklan

Timbalan Ketua Pengarah Kastam (Penguatkuasaan dan Pematuhan), Ribuan Abdullah berkata, sebanyak lima kotak telah diperiksa lanjut kerana didapati meragukan tanpa dinyatakan alamat penghantar.

"Hasilnya, pasukan menjumpai sejumlah bungkusan teh herba Cina mengandungi bahan kristal jernih disyaki dadah berbahaya jenis methamphetamine dengan berat kasar 105kg yang dianggarkan bernilai RM3.3 juta.

Iklan

"Setiap kotak diisi dengan 20 bungkusan teh herba Cina tersebut," katanya pada sidang akhbar di Cawangan Narkotik Kastam di Kampung Jijan, Nilai, di sini pada Selasa.

Menurutnya, pemeriksaan lanjut pada alamat penerima iaitu sebuah syarikat penjualan vape di Keningau, Sabah juga adalah palsu dan tidak wujud.

Iklan

Jelasnya, modus operandi sindiket ialah menggunakan khidmat pengendali kurier dari Lembah Klang dan dihantar melalui laluan udara dengan mengikrarkan syarikat penjualan vape sebagai penerima.

"Kita juga mendapati, sindiket gemar menggunakan bungkusan teh herba Cina kerana mahu mengaburi pihak berkuasa.

"Ini kerana bahan dadah yang organik dan ada kalanya kelihatan berwarna hijau seakan warna teh herba Cina," katanya.

Bagaimanapun katanya, tiada suspek yang ditahan, namun berdasarkan rakaman kamera kitar tertutup (CCTV), individu yang menghantar bungkusan tersebut itu seorang lelaki.

Jelasnya, berdasarkan sitaan kali ini, JKDM menganggarkan seramai lebih 525,000 orang dapat diselamatkan daripada penyalahgunaan dadah.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952," katanya.


Empat lelaki ditahan, dadah bernilai RMRM17,364 dirampas

KUALA LUMPUR - Polis menahan empat lelaki serta merampas pelbagai jenis dadah yang dianggarkan bernilai RM17,364 dalam serbuan berasingan sekitar Lembah Klang, Sabtu lalu.

Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Sulizmie Affendy Sulaiman berkata, bertindak atas maklumat risikan, pihaknya metahan seorang lelaki warga tempatan di tepi Jalan Ipoh Kecil di sini pada jam 11.45 malam.

"Hasil pemeriksaan, pihak polis berjaya merampas dadah jenis methamphetamine (anggaran berat 50.80 gram), erimin 5 (0.7 gram), serta pil yaba (1.3 gram)," katanya dalam kenyataan pada Selasa.

Sulizmie Affendy berkata, hasil soal siasat, pihak polis telah melancarkan dua serbuan berasingan di kediaman sekitar Kuala Lumpur dan Selangor.

"Dalam serbuan tersebut pihak polis telah menahan tiga lelaki tempatan dan merampas dadah methamphetamine (78.6 gram), heroin (57.6 gram), erimin5 (8.76 gram) dan pil yaba (8.0 gram)," katanya.

Beliau berkata, kesemua individu yang ditahan berusia 37 hingga 50 tahun itu dipercayai terlibat dalam kegiatan pengedaran dadah di sekitar Lembah Klang sejak awal tahun lalu.

"Ujian saringan awal air kencing yang dijalankan mendapati kesemua suspek positif dadah jenis methamphetamine, amphetamine, morphine.

"Hasil semakan rekod juga mendapati kesemua suspek mempunyai rekod kesalahan lampau berkaitan dadah dan jenayah," katanya.

Menurutnya, turut dirampas sebuah kereta jenis Proton Saga dan wang tunai RM200 dipercayai hasil daripada jualan dadah.

"Kesemua suspek direman selama tujuh hari bermula Ahad hingga Sabtu bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952, Seksyen 12(2) dan Seksyen 15(1)(a) akta yang sama," katanya.


MELAKA - Seorang buruh warga Indonesia dipercayai dalang sindiket penyeludupan dan pengedaran dadah menerusi jalan laut ditahan menerusi Op Tapis, semalam.

Ketua Polis Melaka, Datuk Zainol Samah berkata, lelaki berusia 40 tahun itu ditahan kira-kira jam 5.50 pagi, ketika cuba menyeludup keluar dadah jenis syabu bernilai RM161,696 di pesisir pantai di Kota Syahbandar di sini.

"Ketika ditahan, suspek dipercayai dalam percubaan menyeludup dadah disyaki syabu itu yang diperoleh dari selatan Thailand ke Indonesia," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Beliau berkata, syabu dirampas dengan anggaran berat 5,053 gram itu diisi dalam lima paket lutsinar yang ditemukan di dalam beg galas dibawa suspek.

Zainol berkata, siasatan awal mendapati warga Indonesia itu merupakan sebahagian rangkaian penyeludupan dan pengedaran dadah di negeri ini yang bergerak aktif sejak pertengahan September.

"Dadah yang dirampas boleh digunakan oleh 25,265 penagih dadah dan ujian air kencing dijalankan terhadap lelaki itu adalah negatif serta tidak mempunyai rekod jenayah.

"Suspek direman selama tujuh hari hingga 3 November depan dan kes disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 kerana mengedar dadah,” katanya. - Bernama