Khairul Aming selami sambutan Deepavali, sediakan juadah India autentik

Iklan
Khairul Aming

KUALA LUMPUR - Pempengaruh dan pencipta kandungan terkenal Khairul Aming memeriahkan lagi sambutan Deepavali dengan mengeluarkan video masakan India.

Terkenal dengan siri '30 Hari 30 Resepi', Khairul Aming menyahut cabaran menyediakan tiga juadah India dalam video bertemakan Deepavali pertamanya, iaitu ulunthu vadai (wade), masala tea (teh masala/berempah) dan kari ayam ala India.

Iklan
Iklan

Usahawan berusia 32 tahun ini yang nama sebenarnya Khairul Amin Kamarulzaman berkata, juadah tersebut diinspirasikan daripada rasa suka beliau terhadap makanan India.

"Saya memang gemarkan makanan India namun tidak pernah cuba memasaknya.

Iklan

"Justeru, bersempena dengan Deepavali, saya cabar diri untuk belajar dan berkongsi resipi ini dengan penonton,” katanya kepada Bernama semasa penggambaran eksklusif di studionya di sini baru-baru ini.

Khairul Aming yang mengenakan jippa berwarna perak-hitam bekerjasama rapat dengan pasukannya bagi memastikan hidangan yang disediakan itu benar-benar menyerlahkan keaslian masakan India, dengan tumpuan diberi kepada bahan dan sukatan.

Iklan

Bernama menyaksikan kejayaan Khairul menyediakan wade, gorengan India Selatan yang diperbuat daripada sejenis kacang hitam, cili, bawang besar dan tepung beras - satu hidangan yang agak sukar untuk disediakan dan memerlukan latihan berulang kali.

"Memang agak mencabar untuk menyediakan wade ini,” akuinya, dan menambah:"Saya berlatih pada malam semalam, dan hanya dapat menyempurnakannya selepas tiga jam berlatih.”

Beliau melengkapkan hidangan itu dengan teh masala dan kari ayam dihiasi daun ketumbar yang diletakkan di atas pinggan perak beralaskan daun pisang.

Khairul Aming melakukan persediaan rapi sebelum melakukan cabaran itu dengan turut menyelami budaya masyarakat India, termasuk membeli bahan-bahan untuk masakan tersebut di Little India, Brickfields serta menggunakan periuk tanah liat dan perkakas dapur diperbuat daripada perak.

Berkongsi pengalamannya pertama kali membeli-belah untuk persediaan Deepavali itu, beliau menggambarkan suasana sebagai 'berwarna-warni dan mengharukan.'

"Ada seorang mak cik yang begitu baik hati membantu saya membeli perkakas dapur, bahan-bahan untuk teh serta pakaian saya. Memang menyeronokkan,” katanya sambil mendedahkan beliau berbelanja sekitar RM500 untuk kesemua barangan berkenaan.

Video 'Khairul Aming's Deepavali Special' itu dikeluarkan hari ini menjelang sambutan Pesta Cahaya yang akan disambut pada Khamis ini. - Bernama