[2:30pm ] Angka korban di Gaza meningkat kepada 43,020 GAZA - Kementerian Kesihatan Gaza melaporkan bahawa sekurang-kurangnya 43,020 orang telah terbunuh dan 101,110 cedera akibat serangan ketenteraan Israel sejak 7 Oktober 2023.
Dalam tempoh 48 jam yang lalu, 96 rakyat Palestin terkorban dan 277 lagi cedera. Dalam perkembangan terkini, serangan udara Israel di Beit Lahia telah mengorbankan sekurang-kurangnya 70 orang dan memusnahkan beberapa bangunan.
Hospital Kamal Adwan, salah satu daripada tiga hospital yang masih beroperasi di kawasan itu, telah diserang, menyebabkan beberapa mangsa terkorban selain peralatan dan bekalan perubatan musnah.
[1:45pm] Tinggal hanya seorang doktor di hospital utara Gaza BANDARAYA GAZA - Hanya seorang doktor yang masih berkhidmat di Hospital Kamal Adwan di utara Gaza selepas petugas perubatan hospital itu ditahan atau dipindahkan oleh tentera Israel, kata Kementerian Kesihatan pada Isnin.
"Di hospital itu kini hanya tinggal seorang pakar pediatrik daripada semua kepakaran yang ada," lapor Agensi Anadolu memetik kenyataan kementerian.
Kementerian itu merayu kepada pertubuhan antarabangsa supaya segera menghantar pasukan perubatan, termasuk pakar bedah, ke hospital berkenaan untuk membantu merawat pesakit dan mangsa yang cedera.
[8:30am] Iran tidak mahu perang tapi akan pertahankan rakyatnya - Presiden TEHRAN - Presiden Iran Masoud Pezeshkian menyatakan bahawa Republik Islam itu tidak mahukan peperangan, tetapi akan mempertahankan hak rakyatnya dan akan memberikan respons yang setimpal terhadap serangan terbaru Israel ke atas negara itu, lapor Agensi Berita Iran (IRNA).
Presiden itu berkata demikian pada sesi kabinet pada Ahad, sehari selepas rejim Israel melancarkan serangan ke atas tapak ketenteraan Iran.
Beliau berkata bahawa Republik Islam dan rakyatnya telah menunjukkan sejak 45 tahun yang lalu bahawa mereka tidak akan tunduk terhadap mana-mana penceroboh.
Menegaskan hak Iran untuk bertindak balas terhadap pencerobohan Israel, Pezeshkian berkata:"Kami tidak mahu perang, tetapi kami akan mempertahankan negara kami dan hak rakyat kami. Kami akan memberikan respons yang setimpal terhadap pencerobohan oleh rejim Zionis.