199 mangsa sindiket penipuan pekerjaan luar negara perlu diselamatkan

Iklan
Timbalan Menteri Luar, Datuk Mohamad Alamin ketika sidang Dewan Rakyat pada Selasa. Foto Jabatan Penerangan Malaysia

KUALA LUMPUR - Seramai 199 lagi rakyat Malaysia yang dipercayai menjadi mangsa sindiket penipuan tawaran pekerjaan di luar negara sedang dijejaki untuk untuk diselamatkan.

Timbalan Menteri Luar, Datuk Mohamad Alamin berkata, mereka merupakan sebahagian daripada 906 warga Malaysia yang dilaporkan menjadi mangsa sindiket itu di luar negara sejak 2020 hingga 28 Oktober lalu.

Iklan
Iklan

Menurutnya, sepanjang tempoh sama juga, kerajaan dengan kerjasama Perwakilan Malaysia di Luar Negeri dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) berjaya menyelamatkan seramai 707 warga tempatan daripada sindiket itu dan membawa mereka pulang ke tanah air.

"Kementerian Luar Negeri akan meneruskan usaha untuk mengesan mereka dan menghulurkan bantuan yang sewajarnya.

Iklan

"Sekiranya laporan telah diterima daripada mana-mana pihak termasuk ahli keluarga atau individu itu sendiri, kementerian ini melalui Perwakilan Malaysia di Luar Negeri akan mengadakan sesi libat urus dengan pihak berkuasa tempatan bagi mendapatkan bantuan untuk mengesan keberadaan mereka, memudah cara untuk melepaskan atau menyelamatkan mereka daripada sindiket penipuan dan seterusnya penghantaran pulang mereka ke Malaysia,” katanya pada sidang Dewan Rakyat pada Selasa.

Beliau berkata demikian menjawab soalan Datuk Ngeh Koo Ham (PH-Beruas) mengenai jumlah jumlah rakyat Malaysia yang telah ditipu untuk ke luar negara dan dipaksa atau terlibat sindiket penipuan dalam talian bagi tempoh lima tahun terkini.

Iklan

Mengulas lanjut, Mohamad berkata, pelbagai usaha telah dilakukan oleh kerajaan untuk meningkatkan kesedaran orang ramai terhadap sindiket penipuan pekerjaan itu termasuk memanfaatkan platform media sosial dan menerusi program-program diplomasi awam di seluruh negara.

Sehubungan itu, beliau turut menasihatkan orang ramai supaya berwaspada dan tidak mudah terpedaya dengan iklan-iklan tawaran pekerjaan di luar negara yang menjanjikan gaji lumayan dan tidak realistik.

"Saya juga ingin memperingati orang ramai supaya jangan mengambil risiko demi tawaran gaji yang tinggi untuk pekerjaan yang tidak wujud kerana anda berkemungkinan akan meletakkan diri sendiri dalam keadaan yang amat bahaya.

"Sekiranya terdapat sebarang kemusykilan, semak tawaran pekerjaan tersebut dengan Kementerian Sumber Manusia, Perwakilan Malaysia di Luar Negeri atau pihak berkuasa yang lain," katanya.

Menjawab berhubung jumlah ejen sindiket pekerjaan beroperasi di Malaysia yang berjaya ditahan, Mohamad berkata, setakat ini, seramai lima individu telah didakwa di mahkamah di bawah Akta Anti Pemerdagangan Orang dan Anti Penyeludupan Migran (ATIPSOM) 2007 berkait kes itu.