JOHOR BAHRU - Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dan Pas Johor mahu siasatan terperinci dilakukan pihak berkuasa terhadap insiden pengibaran bendera negara luar dalam satu acara perarakan festival budaya antarabangsa di Sentosa di sini yang tular, baru-baru ini.
Ketua Penerangan Pas Johor, Abu Irfan Muhammad Al-Urduni berkata, insiden pengibaran bendera negara luar itu boleh membangkitkan provokasi serta ketidakpuasan hati dalam kalangan masyarakat.
"Pas Johor mendesak kerajaan memberikan penjelasan tentang perkara ini kerana ianya penting bagi mengelakkan kekeliruan dalam kalangan masyarakat.
Sementara itu, Ketua Bahagian Bersatu Johor Bahru, Zulkifli Bujang berkata, pihak berkuasa diminta mengambil tindakan tegas terhadap penganjur yang telah gagal mengawal situasi ini dengan baik sehingga pengibaran bendera negara luar berlaku.
Katanya, perbuatan mengibarkan bendera negara luar dalam konteks sebegini adalah satu tindakan yang amat tidak sensitif dan boleh menyinggung perasaan rakyat Malaysia.
"Tindakan sedemikian seolah-olah mencabar keharmonian yang kita bina bersama sebagai warganegara Malaysia.
"Lebih mengecewakan apabila kejadian seumpama ini berulang kali terjadi, mencetuskan kebimbangan dalam kalangan rakyat.
"Pihak berkuasa diminta menyiasat insiden ini dengan teliti serta mengambil langkah tegas di bawah undang-undang berkaitan," katanya.
Pihak polis telah membuka satu kertas siasatan berhubung insiden terbabit selepas menerima satu video tular di media sosial yang memaparkan sekumpulan individu berkenaan mengibarkan bendera negara luar, pada Isnin.
Ketua Polis Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Raub Selamat berkata, kertas siasatan tersebut telah dibuka di bawah Seksyen 3(1) Akta Lambang Kebangsaan 1949, Seksyen 505 (b) Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.