Aduan infrastruktur SK Presint 16 diteliti - PM

Iklan
Kamil bergambar dengan murid ketika wakili Anwar di SK Presint 16. Foto Facebook Anwar Ibrahim

KUALA LUMPUR - Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata semua aduan mengenai infrastruktur Sekolah Kebangsaan (SK) Presint 16 yang memerlukan pembaikan segera akan diteliti.

Beliau berkata, ini merupakan langkah yang selaras dengan hasrat Kerajaan Madani untuk memartabatkan pendidikan anak-anak dan melahirkan generasi yang hebat serta bertanggungjawab terhadap nusa dan bangsa.

Iklan
Iklan

Perdana Menteri berkata, aduan itu disampaikan oleh guru-guru SK Presint 16 kepada Setiausaha Politiknya, Kamil Munim yang wakili beliau dalam pertemuan dengan adik Ummu Qaireen Muhamad Hanis di sekolah tersebut, sempena menyambut ulang tahun kelahiran ke-10, Jumaat lepas.

Kamil (dua dari kiri) berkesempatan untuk meninjau persekitaran sekolah dan beramah mesra bersama guru. Foto Facebook Anwar Ibrahim

"Dalam kunjungan ke SK Presint 16 hari ini, saudara Kamil turut menggunakan kesempatan itu untuk meninjau persekitaran sekolah dan beramah mesra bersama guru dan anak-anak pelajar,” katanya menerusi hantaran yang dimuat naik di Facebooknya.

Iklan

Anwar berkata, ketika makan tengah hari di Medan Selera Presint 16, Putrajaya beberapa hari lepas, beliau juga sempat menyanyikan lagu ‘Selamat Hari Lahir’ bersama rakan-rakan Ummu Qaireen.

"Saya mendoakan anakanda Ummu Qaireen dan seluruh anak-anak pelajar membesar menjadi anak yang soleh dan solehah, serta menyumbang kepada keluarga dan ummah, Insya-Allah,” katanya.

Iklan

Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata, Belanjawan 2025 memberi fokus penting kepada pendidikan menerusi peruntukan tertinggi dalam sejarah berjumlah RM64.1 bilion dengan RM2 bilion dikhususkan untuk projek naik taraf dan penyelenggaraan sekolah di seluruh negara. -Bernama