Bakal pengantin jatuh sungai selepas beli ikan di Pasar Bisik ditemui lemas

Iklan
Mayat mangsa dibawa ke Pusat Kawalan Bomba (PKB) di Pasar Bisik Kota Kuala Muda pada Selasa. Foto Bomba

SUNGAI PETANI - Mayat seorang lelaki yang dikhuatiri lemas selepas membeli ikan di Pasar Bisik Kota Kuala Muda dalam kejadian kira-kira 12.25 tengah hari Ahad lalu, ditemukan di kawasan pantai dalam dekat sini pada Selasa.

Penolong Pengarah Bahagian Operasi Kebombaan Dan Penyelamat, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kedah, Penguasa Kanan Bomba I Wan Mohd Hamizi Wan Wohd Zin berkata, mangsa, Muhamad Aiman Safwan Mahadzir, 25, ditemukan kira-kira 1.5 kilometer dari lokasi terakhir dia terjatuh.

Iklan
Iklan

Menurutnya, operasi pencarian telah bermula pada jam 9.20 pagi sebelum mayat mangsa dijumpai oleh orang awam pada jam 11:50 pagi.

"Mayat mangsa kemudiannya dibawa ke Pusat Kawalan Bomba (PKB) di Pasar Bisik Kota Kuala Muda dan diserahkan kepada pihak PDRM pada jam 1.12 petang," katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.

Iklan

Wan Mohd Hamizi berkata, usaha pencarian pada hari ketiga tersebut dilakukan di pesisiran pantai dengan bantuan satu unit bot penyelamat melibatkan lima anggota yang dibantu oleh empat unit bot nelayan.

Menurutnya, satu bot penyelamat bersama enam anggota Pasukan Penyelamat di Air (PPDA) juga keluar membuat pencarian ‘surface water resque’ dengan jarak 1.5 hingga 2 batu nautika.

Iklan

Pada Isnin, Sinar Harian melaporkan dalam kejadian kira-kira jam 12 tengah hari pada Ahad, mangsa difahamkan kali terakhir dilihat berada di pesisir pantai Pasar Bisik untuk menunggu bot nelayan yang baharu tiba membawa muatan ikan sebelum dilaporkan terjatuh dan hilang daripada pandangan orang ramai dipercayai dibawa arus deras.

Sebelum kejadian, Muhammad Aiman sempat menelefon ibunya pada jam 11.30 pagi dan memaklumkan berada di lokasi kejadian untuk membeli ikan.

Lebih memilukan, anak sulung daripada tiga beradik itu kini sedang membuat persiapan akhir majlis perkahwinannya yang bakal berlangsung tiga bulan lagi.