Ban runtuh: Penduduk bimbang banjir berulang

Iklan
Mohamad Afandy (kiri) bersama penduduk menunjukkan ban runtuh di lembangan Sungai Buloh di sini pada Selasa.

KUALA SELANGOR - Kira-kira 1,000 penduduk di tiga kampung berisiko banjir sekali lagi berikutan ban lembangan Sungai Buloh di sini runtuh pada Ahad.

Kejadian kira-kira jam 5 petang itu menyebabkan ban sepanjang kira-kira 50 meter itu rebak berhampiran kawasan yang turut mengalami runtuhan sama pada 4 Oktober lalu.

Iklan
Iklan

Tiga kampung berisiko itu ialah di Batu 7 Ijok, Parit Mahang dan Kampung Harmoni.

Seorang penduduk, Ismail Ibrahim, 63, berkata, penduduk tiga kampung itu berdepan risiko banjir berikutan ban yang menjadi benteng penahan air dibimbangi melimpah memasuki kampung.

Iklan
Ismail

"Keadaan ini bertambah teruk jika berlaku hujan berterusan selain air dari kawasan hulu sungai melimpah ke Sungai Buloh," katanya ketika ditemui pada Selasa.

Ismail menetap di Kampung Batu 7 Ijok memberitahu, sebelum ini ban di kawasan berdekatan runtuh menyebabkan penduduk terpaksa dipindahkan ke pusat pemindahan sementara (PPS) berikutan kediaman penduduk dilimpahi banjir.

Iklan

"Kerja-kerja baik pulih ban runtuh berdekatan baru saja siap pada 16 Oktober lalu, namun kita dapati berlaku runtuhan kedua pada jarak 30 meter dari tempat asal," ujarnya.

Mohd Razak Md Basir, 38, berkata, sekiranya runtuhan ban itu belum dibaik pulih, dia bimbang berlaku kejadian banjir di kediamannya.

Mohd Razak

Menurutnya, kawasan kediamannya sering dinaiki air jika berlaku banjir dan masalah ban pecah menyebabkan keadaan bertambah buruk terutama bagi menghadapi musim tengkujuh November ini.

"Tahun ini sahaja sudah empat kali rumah naik air, saya memang berharap masalah ini ditangani segera pihak berwajib," ujar beliau.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung Persekutuan (JPKKP) Ijok, Mohamad Afandy Mohd Dahlan berkata, masalah itu sudah diambil tindakan pihak kontraktor yang dilantik Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) pada Isnin lalu.

Beliau berkata, kerja-kerja baik pulih ban itu telah mula dilakukan kira-kira jam 5 petang, namun sehingga kini masih dalam pelaksanaan.

Sehubungan itu, katanya, pihaknya meminta JPS memantau dan memastikan kerja itu dapat dilaksanakan mengikut tempoh ditetapkan.

"Kita harap isu runtuhan ban ini diselesaikan segera kerana tidak mahu penduduk berdepan kejadian banjir seperti yang berlaku awal Oktober lalu berulang kembali," tambahnya.

Sinar Harian pada 6 Oktober lalu melaporkan, penduduk kampung di Ijok di sini yang dilanda banjir mendakwa kejadian ban pecah di lembangan Sungai Buloh menyebabkan air bertukar warna hitam dan menghanyutkan sisa sampah.

Penduduk mendakwa, keadaan itu berpunca apabila air banjir turut membawa pelbagai sampah dari tapak pembuangan haram berdekatan.