11 pasangan artis popular bercerai tahun ini

Iklan
Tahun 2024 industri hiburan dikejutkan dengan penceraian ramai pasangan selebriti.

TAHUN 2024 belum pun melabuhkan tirai, namun industri hiburan dikejutkan dengan penceraian ramai pasangan selebriti.

Ada antara pasangan itu sudah diketahui keretakannya, tidak kurang juga yang sudah lebih 10 tahun melayari bahtera rumah tangga, tetapi kecundang juga ditelan arus ujian.

Iklan
Iklan

Bagaimanapun ada juga pasangan yang tampak bahagia tetapi akhirnya mengumumkan sudah selesai menjalani tempoh iddah.

Tiada siapa yang impikan untuk berpisah tatkala sudah bergelar suami isteri, tetapi pada akhirnya terpaksa memilih untuk membawa haluan masing-masing.

Iklan

FYP tampilkan pasangan selebriti yang memilih untuk meletak titik noktah dalam perkahwinan mereka tahun ini.

1. Datuk Red - Adira

Iklan

Penyanyi Adira Suhaimi, 32, dan Datuk Seri Adna Abu atau Datuk Red, 46, sah bercerai talak satu di Mahkamah Rendah Syariah Gombak Barat, Kuang, Selangor pada 24 April lalu.

Lafaz cerai itu didengar di hadapan Hakim Syarie, Abdul Hadi Omar sekitar jam 9.45 sekali gus mengesahkan lafaz itu adalah mengikut hukum syarak.

Keretakan rumah tangga mereka sudah diketahui umum selepas Adira menfailkan penceraian pada 25 Oktober tahun lalu.

Sebelum ini, Adira pernah memfailkan perceraian pada 2019, namun menarik semula demi anak-anak.

Adira dan Datuk Red berkahwin di Songkhla, Thailand pada 3 Disember 2015 sebagai isteri kedua.

Hasil perkahwinan, pasangan itu dikurniakan empat anak iaitu Anggrek, 6, Asan, 5, Anggun, 4, dan Ayob yang kini berusia setahun.

Bagaimanapun hubungan Adira dan Datuk Red menemui sinar baharu apabila mereka tidak menafikan mahu berkahwin semula tidak lama lagi.

2. Irma Hasmie - Redza Syah

SELEPAS segala desas-desus bertebaran mengenai rumah tangganya, pengacara dan pelakon Irma Hasmie mengakui perkahwinannya bersama Redza Syah Azmeer sudah berakhir pada Oktober tahun lalu.

Bagaimanapun hanya selepas Redza berkahwin baharu pada April lalu, baharulah Irma 'membuka mulut' melalui rakan baiknya, Reen Emran menerusi Insta Story dan turut dikongsikan pengacara serta penceramah motivasi, Amin Idris melalui medium sama.

"Bagi menjawab kepada persoalan apakah status mereka (Irma serta Redza) sekarang dan untuk mengelakkan dari terus timbul fitnah. Saya dengan ini mewakili sahabat saya ingin mengeluarkan kenyataan (dengan izin dia sendiri).

"Buat pengetahuan... mereka sudah sah bercerai 6 bulan lepas. Dengan persoalan yang sudah terjawab, saya mohon pada semua beri ruang untuk sahabat saya,” kongsinya.

Dalam masa sama, Reen memaklumkan, Irma atau penuhnya Irma Hasmie Ibrahim dan dua anak iaitu Redza Syed Irfhan, 11, serta Irma Nur Naylie, 10, berada dalam keadaan baik.

Sebelum ini, timbul dakwaan rumah tangga Irma dan suami berantakan selepas Irma memuat naik status mengenai kesabaran seorang wanita, selain jarang memuat naik foto bersama sejak Ogos 2023.

Untuk rekod, Irma dan Redza mendirikan rumah tangga pada 2012 dan dikurniakan dua cahaya mata.

3. Aliff Aziz - Bella Astillah

PASANGAN kontroversi, Aliff Aziz, 33, dan Bella Astillah, 30, sah bercerai talak satu buat kali kedua di Mahkamah Syariah Wilayah Persekutuan, Jalan Duta pada 13 Jun lalu.

Keretakan rumah mereka tidak lagi dapat diselamatkan selepas Aliff didakwa terbabit dalam kes khalwat bersama pelakon, Ruhainies, 32, di sebuah kondominium mewah di ibu negara pada 9 Mac lalu.

Dua hari kemudian, Bella nekad menfailkan perceraian di Mahkamah Syariah Wilayah Persekutuan.

Bella dan Aliff mendirikan rumah tangga pada 9 September 2016. Hasil perkongsian hidup mereka dikurniakan dua cahaya mata iaitu Mohamad Ayden Adrean, 7, dan Ara Adreanna, 4.

4. Nora Danish - Nedim Nazri

PENCERAIAN yang berlaku di antara Nora Danish dan Nedim Nazri antara yang mengejutkan ramai biarpun pelakon itu mengakui tidak lagi tinggal sebumbung.

Pasangan itu bersetuju untuk berpisah secara baik menerusi prosiding yang berjalan di Mahkamah Syariah Wilayah Persekutuan, Jalan Duta, Kuala Lumpur pada 19 Jun lalu.

Nedim melafazkan talak satu di hadapan Hakim Syarie, Abdul Fattah Datuk Kamarudin pada pukul 8.34 malam tadi.

Bagaimanapun sehingga kini, baik Nora mahupun Nedim tidak pernah mendedahkan punca penceraian mereka dan masih mengekalkan hubungan baik demi anak-anak.

Malah Nora dilihat sempat menjaga Nedim ketika dalam tempoh iddah dan Nedim juga dilihat masih berusaha memenangi kembali hati bekas isterinya itu.

Nora dan Nedim mendirikan rumah tangga pada 30 Mac 2017 dan dikurniakan anak lelaki, Mohamed Neqayl berusia enam tahun.

Sebelum ini, Nora pernah berkahwin dengan Datuk Rizal Ashram Ramli atau Jejai pada 20 Jun 2006 dan dikurniakan anak lelaki, Putra Rayqal, 15 sebelum bercerai pada 2008.

5. Harith Iskander - Dr Jezamine Lim

TIADA persefahaman menjadi punca utama penceraian pelawak Harith Iskander, 58, dan Dr Jezamine Lim, 41, pada 25 Julai lalu di Mahkamah Syariah Wilayah Persekutuan.

Peguam mewakili pasangan itu, Datuk Akberdin Abdul Kader memaklumkan pasangan itu masih menjalinkan hubungan baik demi anak-anak.

"Punca dia biasalah tiada persefahaman, semua berjalan secara baik dan mereka juga masih bersahabat baik demi anak-anak, tiada apa-apa masalah," katanya.

Sebelum ini kisah keretakan rumah tangga Harith mula menjadi bualan selepas gambar Dr Jazemine bersama Akberdin tersebar.

Pada 8 Julai lalu, Jezamine mengesahkan memfailkan permohonan cerai di Mahkamah Rendah Syariah Wilayah Persekutuan, di sini.

Selepas berita mereka mendapat liputan meluas, pasangan itu kemudian tampil membuat penjelasan mengenai situasi rumah tangganya menerusi sebuah 'podcast' di YouTube The Rakyat Post yang dihoskan Daphne Iking.

Harith menjelaskan mereka mengambil proses bertahun-tahun sebelum akhirnya memilih keputusan untuk nekad bercerai. Keputusan itu bukan dibuat mendadak dan memang sudah usaha untuk pertahankan rumah tangga mereka.

Harith dan Dr Jezamine mendirikan rumah tangga pada 12 Jun 2010. Mereka dikurniakan tiga cahaya mata, Zander Xayne, 14; Alessandra Jayne, 11; dan Zydane Zayne, 9.

6. Syamsul Yusof - Ira Kazar

TIDAK sampai dua tahun bergelar suami isteri, pengarah dan pelakon, Syamsul Yusof sah bercerai talak satu dengan Ira Kazar, di Mahkamah Rendah Syariah Kuala Selangor pada 4 September lalu.

Syamsul Yusof dan Ira Kazar

Hakim Syarie Mohd Faizal Habib mengesahkan pasangan itu telah bercerai dengan talak satu selepas Ira melanggar taklik sebanyak lima kali melalui hantaran di media sosial dan tempoh idah bermula pada tarikh pelanggaran taklik, iaitu 14 Ogos 2024.

Syamsul dan Ira berkahwin pada 6 Januari 2023 di Selatan Thailand dan rumah tangga pasangan itu kembali menjadi perhatian selepas Syamsul bertindak menfailkan penceraian di Mahkamah Rendah Syariah Gombak pada 19 Ogos lalu.

7. Fattah Amin - Fazura

IKATAN perkahwinan selama hampir tujuh tahun yang dibina pasangan selebriti popular, Fattah Amin dan Nur Fazura akhirnya terlerai apabila sah bercerai talak satu di Mahkamah Rendah Syariah Petaling, Subang Bestari pada 7 Oktober lalu

Fattah atau nama sebenarnya Abdul Fattah Mohd. Amin, 33, melafazkan cerai talak satu pada jam 9.45 pagi di hadapan Hakim Syarie Abdul Malik Soleh.

Ia selepas mahkamah membenarkan permohonan cerai yang difailkan Fazura mengikut Seksyen 47 Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam (Negeri Selangor) 2003.

Ketika ditemui selepas prosiding penceraian, Fazura mendedahkan antara tiga punca penceraian mereka adalah Fattah tidak memberi nafkah termasuk duit raya kepada anak mereka sejak Nur Fatima Aisya lahir, tiada lagi persefahaman dan kecurangan Fattah.

Bagaimanapun Fattah dengan tenang menjawab dan menafikan semua dakwaan yang dibuat.

Pada 13 September lalu, media melaporkan, Fazura memfailkan permohonan cerai terhadap Fattah di Mahkamah Rendah Syariah Petaling, Subang Bestari.

Fazura dan Fattah mendirikan rumah tangga pada 27 November 2017. Hasil perkahwinan, mereka dikurniakan cahaya mata perempuan, Nur Fatima Aisya, 4.

8. Emma Maembong - Muhammad Shazli

TIADA angin, tiada ribut, aktres berdarah kacukan, Emma Maembong mengakui sudah bercerai dengan bekas suaminya, Muhammad Shazli Azhar secara baik pada 7 Oktober lalu.

Bahkan Emma atau nama sebenarnya, Fatimah Rohani Ismail, 32, sudah selesai menjalani tempoh idah dan seboleh-bolehnya enggan mendedahkan perkara itu kepada umum.

Demi kesejahteraan dua putera mereka iaitu Shariq Gabriel, 3, dan Shakil Aryan Shah, 17 bulan, dia dan bekas suami masih berhubungan baik.

Malah dia dan Shazli reda dengan ujian yang berlaku dalam perkahwinan yang dibina sejak 20 Februari 2020 itu.

9. Datuk Fazley Yaakob - Azrene Soraya

PENYANYI yang juga chef selebriti, Datuk Fazley Yaakob mendedahkan mahligai perkahwinan yang dibina selama 18 tahun sudah runtuh sejak beberapa bulan lalu.

Jelas Fazley, beliau dan Azrena Soraya Abdul Aziz atau lebih dikenali sebagai Azrene Ahmad telah sah bercerai dan bekas isterinya itu sudah selesai menjalani tempoh iddah beberapa bulan lalu.

"Keputusan untuk bercerai telah diambil atas persetujuan bersama selepas 18 tahun bergelar suami isteri dan saya sendiri telah memfailkan penceraian.

"Semoga dengan adanya pengumuman ini, tidak akan ada lagi kekeliruan tentang hubungan kami berdua selepas ini,” ujarnya dalam satu kenyataan.

Tambah Fazley, 46, hubungannya dengan bekas isterinya kekal baik seperti sewaktu mereka mula-mula berkenalan dahulu.

Malah empat anak mereka iaitu Ahmad Fariedz Shah, 15, Ahmad Fieradz Shah, 14, dan Ahmad Fierudz Shah, 13, dan Alayna Selma 7 tahun kini dalam penjagaan bersama.

10. Que Haidar - Linda Jasmine

Sama seperti Emma Maembong, keretakan rumah tangga pelakon dan pengarah, Que Haidar, 45 dan Linda Jasmine, 52, tidak diketahui umum meskipun sudah terlerai sejak 2 Julai lalu.

Que atau nama sebenarnya Tengku Iskhan Sha Tengku Haidar, berkata, biarpun perkahwinan berusia 15 tahun itu berakhir, mereka masih mengekalkan hubungan baik demi anak-anak.

"Hal rumah tangga adalah hal peribadi. Perkara seperti ini (penceraian) bukanlah untuk dibanggakan. Lebih baik simpan sendiri, doakan yang terbaik.

"Kami masih saling memberikan sokongan, apa yang terbaik untuk kami berdua dan anak-anak. Tidak ada benda yang perlu diuar-uarkan atau dikongsi.

"Hubungan kami masih sangat baik dan Alhamdulillah anak-anak juga terima semua ini dengan matang. Tiada perbalahan antara kami," ujarnya.

Que dan Linda mendirikan rumah tangga pada 14 Februari 2009.

Hasil perkahwinan itu, mereka dikurniakan dua cahaya mata perempuan iaitu Tengku Ratu Haidar, 15, dan Tengku Cleopatra Haidar, 12 tahun.

Linda sebelum ini pernah berkahwin dan mempunyai seorang cahaya mata lelaki iaitu Qalif Khan yang kini berusia 24 tahun.

11. Kaka Azraff - Adam Azriff

RUMAH tangga penyanyi, Kaka Azraff, 35, dan suaminya, Adam Azriff, 30, didakwa sudah berakhir apabila sah bercerai talak satu pada 28 Oktober lalu.

Difahamkan, mereka melakukan lafaz cerai secara ekspres di Mahkamah Rendah Syariah, Shah Alam.

Bagaimanapun sehingga kini, Kaka masih tidak memberikan sebarang kenyataan dan meminta ruang.

Kaka juga dilihat memuat naik foto bersama keluarga di Instagram seolah-olah tidak ada apa-apa yang berlaku.

Penceraian itu tentu sekali mengejutkan peminat kerana umum mengetahui, Kaka baharu sahaja melahirkan anak ketiga, Atta Adam, tahun lalu.

Kaka dan Adam mendirikan rumah tangga pada 14 Disember 2018 selepas tiga bulan menjalin cinta. Selain Atta, mereka turut dikurniakan dua lagi anak lelaki iaitu Aslan, 5, dan Aryan, 3 tahun.