Lelaki Myanmar maki polis diberkas

Iklan
Gambar hiasan.

AMPANG - Tindakan seorang lelaki warga Myanmar mengeluarkan kata-kata kesat terhadap polis mengundang padah apabila aksinya itu tular di media sosial sebelum diberkas pada Isnin.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohd Azam Ismail berkata, perbuatan suspek itu dimuat naik menerusi satu akaun di TikTok.

Iklan
Iklan

"Semakan berdasarkan rakaman video berkenaan mendapati suspek bertindak mengeluarkan kata-kata kesat serta memaki hamun pihak polis.

"Susulan itu usaha mengesan suspek dijalankan dan berjaya ditahan di kawasan Jalan Pandan 2/3 Pandan Jaya," katanya menerusi kenyataan pada Selasa.

Iklan

Ujar beliau, suspek yang merupakan warga Myanmar berumur 30 tahun itu ditahan sepasukan anggota Balai Polis Pandan Indah kira-kira jam 7 petang.

"Saringan yang dijalankan turut mendapati suspek positif dadah selain semakan mendapati suspek tidak bekerja," katanya.

Iklan

Menurutnya, suspek kini direman empat hari untuk siasatan di bawah Seksyen 504, 353, 186 Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi Multimedia 1998 serta Seksyen 14 Akta Kesalahan Kecil 1955.

Terdahulu, tular video di media sosial memaparkan seorang lelaki warga asing mengeluarkan kata-kata kesat terhadap polis.