PEMBAWA disaran mohon kenaikan kuota subsidi diesel kepada 10,000 liter sebulan

Iklan
Ahmad Zahid (enam dari kanan) bergambar bersama ahli-ahli Persatuan Pengusaha Bas Ekspres Melayu Semenanjung Malaysia (PEMBAWA) pada majlis Perasmian Mesyuarat Agung Tahunan PEMBAWA kali ke-44 bagi tahun 2024 di WTC Kuala Lumpur, pada Selasa. Turut hadir Yang Dipertua PEMBAWA, Laili Ismail (lima dari kanan). Foto Bernama

KUALA LUMPUR - Pengusaha bas ekspres disaran memohon kenaikan kuota subsidi diesel daripada 6,000 liter kepada 10,000 liter sebulan, bagi membantu mengurangkan beban kos pengendalian operasi.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, jumlah itu bersesuaian dengan purata keperluan yang digunakan oleh sebuah bas setiap bulan.

Iklan
Iklan

"Tentunya pengusaha bas ekspres ini menghadapi pelbagai cabaran terutama daripada segi kenaikan kos penggunaan bahan api.

"Jadi saya sarankan kepada PEMBAWA (Persatuan Pengusaha Bas Ekspres Melayu Semenanjung) agar membuat resolusi dalam Mesyuarat Agung ke-44 hari ini memohon kerajaan mempertingkatkan jumlah kuota bagi kenaikan liter (diesel) dari 6,000 kepada 10,000, ertinya kenaikan 4,000 liter bagi setiap bas dengan harga tetap RM1.88 seliter,” katanya.

Iklan

Beliau yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian Mesyuarat Agung Tahunan PEMBAWA kali ke-44 di Dewan Tun Hussein Onn, Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur pada Selasa.

Ahmad Zahid berkata, permohonan kenaikan kuota itu adalah munasabah selepas mengambil kira kepentingan awam kerana bas ekspres merupakan satu daripada pengangkutan penting yang menjadi pilihan rakyat.

Iklan

Difahamkan bas ekspres di seluruh negara digunakan oleh kira-kira 50 juta penumpang setiap tahun.

Pada Julai lepas, Menteri Pengangkutan, Anthony Loke dalam Dewan Rakyat memaklumkan kuota subsidi diesel RM1.88 seliter bagi bas ekspres ditingkatkan kepada 6,000 liter sebulan berbanding 2,880 liter yang diberikan sebelum ini.

Beliau berkata, peningkatan itu sekali gus dapat membantu pengusaha bas ekspres untuk mengawal kos terutamanya bahan api dan pengoperasian.

Dalam pada itu, Ahmad Zahid mahu pengusaha bas turut bersedia membuat perubahan untuk bertukar kepada kenderaan elektrik (EV) yang dikatakan mempunyai manfaat jangka panjang.

"PEMBAWA dan syarikat bas lain harus bawa perubahan terutamanya apabila kerajaan kelak menyarankan agar bas guna tenaga fosil akan bertukar kepada EV dan dalam keadaan ini pihak MARA Liner contohnya akan mengubah kaedah daripada bas konvesional kepada EV.

"Ini kerana jangka panjang penyelenggaraan agak kurang berbanding sistem konvensional...jadi perubahan harus diperhatikan dari sekarang...walaupun cadangan ini tak berapa disukai oleh pelabur tetapi saya amat yakin dengan langkah ini.

"Saya harap perkara ini dapat dimulakan oleh MARA Liner dalam bas ekspres dan bas henti-henti untuk lihat kos operasinya,” katanya.

Beliau turut memaklumkan bahawa Prasarana telah membuka tender untuk 250 bas EV beroperasi dan perkara itu mendapat sokongan kerajaan. - Bernama