KUALA LUMPUR - Tenaga Nasional Berhad (TNB) menjadi syarikat berkaitan kerajaan (GLC) pertama yang bersetuju melaksanakan dasar kerajaan berhubung kenaikan gaji minimum.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, keputusan tersebut dibuat hasil persetujuan antara lembaga pengarah dan pengurusan tertinggi TNB.
"Saya ucapkan terima kasih kepada lembaga pengarah dan pengurusan tertinggi TNB untuk menjadikan GLC pertama yang menyahut seruan kerajaan terutama untuk menaikkan kadar gaji minimum.
"Seterusnya, meluluskan kenaikan garis pendapatan bagi seluruh warga TNB,” katanya ketika menyampaikan amanat khas dalam Majlis Sambutan Ulang Tahun ke-75 Tenaga Nasional Berhad (TNB) di Pusat Konvensyen Leo Moggie TNB Platinum pada Selasa.
Sebelum ini, kerajaan bersetuju menaikkan kadar gaji minimum daripada RM1,500 kepada RM1,700 sebulan yang akan berkuat kuasa mulai 1 Februari 2025.
Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata, kerajaan turut memutuskan penangguhan kuat kuasa gaji minimum RM1,700 membabitkan majikan yang mempunyai kurang daripada lima pekerja bagi tempoh enam bulan iaitu berkuat kuasa pada 1 Ogos 2025.
Mengulas lanjut, Ahli Parlimen Tambun itu memaklumkan bahawa inisiatif kenaikan gaji itu adalah sebahagian daripada penghargaan kerajaan terhadap para pekerja.
Katanya, menerusi kenaikan gaji itu akan menjadikan mereka lebih bersemangat untuk meningkatkan mutu pekerjaan.
Sementara itu, Pengerusi TNB, Tan Sri Abdul Razak Abdul Majid memberitahu, selari dengan hasrat kerajaan ke arah mencapai sasaran karbon sifar bersih menjelang 2050, TNB tidak ketinggalan dalam merealisasikan aspirasi tersebut.
"TNB juga tidak ketinggalan membantu kerajaan untuk merealisasikan aspirasi tersebut melalui pelbagai inisiatif yang dilaksanakan dengan rakan-rakan strategik daripada pelbagai organisasi.
"Melalui Pelan Peralihan Tenaga TNB, inisiatif utama telah disusun untuk mengatur gerak usaha ke arah menggerakkan program pengurangan karbon dan memperluaskan pasaran fokus.
"Ia betujuan untuk mempercepatkan pertumbuhan Tenaga Boleh Baharu (TBB) serta melabur dalam grid masa hadapan,” ujarnya.
Tambah beliau, kesemua usaha itu bakal mempertingkatkan impak pembangunan mesra alam dan mewujudkan kesejahteraan sejagat dengan keutamaan diberikan terhadap aspek Alam Sekitar, Sosial dan Tadbir Urus (ESG) dalam setiap perancangan dan strategi syarikat.
Menurutnya, kemajuan dan kepesatan perkembangan teknologi dunia memerlukan TNB menggunakan pendekatan 'adaptif' dalam setiap bidang pengurusan dan bertindak secara lebih berani, dinamik serta tangkas untuk berdepan dengan pelbagai cabaran.