MENJADI kelaziman masyarakat kita untuk menggantung kaligrafi mengandungi ayat al-Quran pada dinding di dalam rumah masing-masing.
Sejuk mata orang yang memandang. Sambil melihat seni kaligrafi indah itu, boleh juga bait-bait suci kalamullah itu kita baca.
Namun begitu, ada pandangan yang mengatakan makruh berbuat demikian. Sejauh manakah kebenarannya?
Menerusi hantaran terbaharu pendakwah Ustaz Azhar Idrus di laman sosial Facebook miliknya, beliau menjelaskan, terdapat perselisihan pandangan ulama tentang perkara itu.
"Setengah ulama lagi pula memakruhkannya,” katanya sebagaimana dipetik dalam hantarannya pada Selasa.
Bagi menguatkan lagi hujahnya, agamawan itu turut mengemukakan beberapa pandangan tentangnya.
Antaranya kitab Al-Fatawa al-Hindiyah menyatakan:"Dan jika ditulis al-Quran di atas dinding dan tembok, maka berkata sesetengah ulama: Diharapkan bahawa hukumnya adalah harus, manakala sesetengah mereka memakruhkannya kerana khuatir ia jatuh pada kaki manusia.”
Selain itu, Ustaz Azhar turut menukilkan pandangan Mufti Jordan yang menjelaskan:"Harus menulis ayat-ayat al-Quran atas dinding atau memahat ayat al-Quran di atasnya atau menggantungnya sebagai tatapan awam, akan tetapi wajib memuliakannya dan menghormatinya.
"Malah, wajib dipelihara daripada disia-siakan atau direndah-rendahkannya serta tidak harus melemparkannya bersama sampah selepas ia rosak,” katanya.
Ia selari dengan firman ALLAH SWT:"Dan barang siapa mengagungkan syiar-syiar ALLAH, maka sesungguhnya hal itu timbul daripada ketakwaan hati.” (Surah al-Hajj: 32)
"Pada masa sama, wajib untuk memeliharanya daripada kekotoran atau seumpamanya kerana menghormatinya,” tulisnya.
Sementara itu, memetik artikel Irsyad Hukum Siri ke-355: Hukum menggantungkan ayat-ayat suci al-Quran di rumah yang pernah disiarkan di laman web Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan, pihaknya cenderung mengatakan harus berbuat demikian termasuk menggantung kalimah-kalimah seperti ALLAH SWT dan Muhammad SAW pada dinding atau tiang di dalam rumah.
Bagaimanapun, terdapat syarat-syarat perlu dipenuhi iaitu:
1. Mestilah digantung di tempat-tempat dan kawasan yang baik, bersih dan terhindar daripada kotoran najis serta digantung dengan baik (tidak mudah jatuh) bagi mengelakkan jatuhnya pada kaki manusia.
2. Tujuan digantung bukan untuk penghinaan atau mencari keberkatan, tetapi sebagai satu peringatan.
3. Jangan berlebih-lebihan dalam perbuatan itu hingga boleh menyebabkan berlakunya pembaziran.
Bagi mereka yang menggantung kalimah suci itu di atas televisyen, Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan menjelaskan, jika ia menyebabkan berlakunya penghinaan atau bercanggah dengan tujuannya digantung iaitu mengingatkan diri kepada ALLAH SWT, di samping bagi menghias dinding dengan seni tulisan khat, ia seharusnya dielakkan sama sekali.
"Sebaiknya gantunglah kalimah itu berdasarkan syarat yang telah disenaraikan tadi,” tulis artikel tersebut.