Pemilik Facebook, Meta berdepan saman AS$2.8 juta di Jepun akibat iklan palsu

Iklan
Gambar hiasan.

OSAKA - Pemilik Facebook dan Instagram, Meta Platforms Inc., berdepan tuntutan saman baharu di Jepun pada Selasa berhubung iklan yang secara penipuan mempromosikan pelaburan menggunakan sokongan selebriti palsu, dengan 30 plaintif menuntut ganti rugi berjumlah 435 juta yen (AS$2.8 juta).

Gergasi teknologi AS dan cawangan Jepunnya didakwa gagal mengambil langkah mencukupi untuk mencegah penipuan itu, menurut aduan plaintif. Tuntutan ganti rugi itu difailkan di mahkamah daerah di Osaka, Kobe, Yokohama, Chiba dan Saitama.

Iklan
Iklan

Menurut laporan berita Kyodo, antara nama yang digunakan dalam iklan itu termasuk usahawan Jepun Yusaku Maezawa, pengasas peruncit fesyen dalam talian Zozo Inc., yang mengembara ke Stesen Angkasa Antarabangsa menaiki kapal angkasa Rusia pada 2021.

Plaintif melihat iklan palsu itu sebelum diarahkan untuk memindahkan wang ke akaun pelaburan yang ditetapkan.

Iklan

Mereka berhujah Meta mempunyai kewajipan untuk menyiasat kandungan iklan dan tidak membenarkannya disiarkan di media sosial jika risiko bahaya kepada pengguna dapat dijangkakan.

Maezawa dan seorang lagi usahawan, Takafumi Horie,meminta agar iklan palsu itu dipadamkan, tetapi Meta"mengabaikannya dan menyebabkan lebih banyak kerugian," kata Kusuo Tsuneoka, seorang peguam yang mewakili plaintif.

Iklan

Tsuneoka memberitahu sidang akhbar di Chiba, dekat Tokyo, bahawa pasukan peguam sedang mempertimbangkan untuk memfailkan lebih banyak saman, dengan berkata,"Jika lebih ramai orang bersuara, kita akan mempunyai lebih banyak peraturan terhadap iklan palsu. Kami berharap individu yang terjejas akan menghubungi kami."

Meta disaman awal tahun ini dalam kes serupa yang difailkan di Kobe oleh sekumpulan empat individu. Syarikat itu kini sedang berusaha untuk membatalkan tuntutan ganti rugi berkenaan. - Bernama/Kyodo