GUA MUSANG - Sekumpulan 13 pekerja kontraktor cemas apabila terserempak dengan dua ekor harimau belang ketika sedang melakukan kerja-kerja menurap jalan di Jalan Gua Musang-Kenyir dekat Aring 5 di sini, semalam.
Pengurus pekerja kontraktor Mohamad Alif Asrah Rosdi, 33, berkata, pada kejadian pukul 8.20 malam itu, semua pekerja terkejut dengan kemunculan haiwan tersebut yang melintas jalan utama kira-kira 300 meter dari tempat penurapan.
Beliau berkata, insiden semalam adalah kali kedua selepas penemuan pertama yang melibatkan seekor harimau belang melintas jalan berhampiran Aring 5 pada pukul 9.30 pagi kelmarin.
"Setelah benar-benar yakin keadaan selamat barulah mereka kembali bekerja seperti biasa,” katanya kepada pemberita pada Selasa.
"Keadaan ini menyababkan kami bekerja dalam keadaan takut dan berwaspada kerana bimbang kemunculan haiwan liar itu yang mungkin menyerang kami,” katanya.
Sementara itu, Pengarah Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Kelantan, Mohamad Hafid Rohani berkata, sehingga kini pihaknya tidak menerima sebarang laporan mengenai kejadian itu.
Beliau menasihatkan orang awam supaya bergerak secara berkumpulan, tidak melakukan provokasi, elakkan mengambil tindakan sendiri dan menjarakkan diri sekiranya terserempak dengan haiwan liar itu. -Bernama