SHAH ALAM - Wanita perlu memahami kehendak dan keupayaan diri sebelum membuat keputusan untuk meneruskan kerjaya atau sebaliknya.
Personaliti terkenal, Nini Marini Ramlan berpandangan, ramai wanita seakan 'menyekat' prospek kemajuan apabila tidak mengambil berat tentang kemampuan diri.
"Kita perlu 'dengar' apa yang diri kita mahukan. Bila beritahu diri sudah sampai masa untuk bergerak, badan akan bergerak dan lakukannya dengan baik.
"Bila dah buat, adakah kita rasa teruja? Adakah hati rasa selesa? Kerana itulah tanda-tanda jika kita buat keputusan yang baik atau buruk," katanya dalam program 'She Leads' siri 5 yang berlangsung di Auditorium Kompleks Kumpulan Karangkraf, di sini pada Selasa.
Dalam pada itu Nini Marini berpendapat, ramai wanita masa kini terlalu fikirkan perkara di luar kemampuan selain menuruti saranan orang sekeliling.
Malah tegasnya, kebergantungan kepada orang luar menjadikan wanita kurang keyakinan terhadap diri sendiri, sekali gus membiarkan mereka tentukan perjalanan hidup sendiri.
"Tiada siapa yang boleh tentukan apa yang terbaik, apa sepatutnya dilakukan, kecuali diri sendiri.
"Fahami diri, pastikan apa keutamaan dalam hidup. Adakah mahu menjadi ibu dahulu atau mahu mempunyai kerjaya.
"Tetapkan satu tempoh contohnya lima tahun sebelum buat keputusan untuk berkahwin dan
dalam masa itu, lakukan apa sahaja yang anda mahu untuk diri sendiri," ujarnya.