SPRM bongkar kartel projek bekal baja bernilai RM1.8 bilion

Iklan
SPRM memulakan siasatan berhubung kewujudan kartel dalam pengagihan dan perbekalan kontrak baja padi di sebuah pertubuhan di bawah kawalan sebuah kementerian yang dianggarkan bernilai RM1.8 bilion. Gambar hiasan

PUTRAJAYA - Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) memulakan siasatan berhubung kewujudan kartel dalam pengagihan dan perbekalan kontrak baja padi di sebuah pertubuhan di bawah kawalan sebuah kementerian yang dianggarkan bernilai RM1.8 bilion.

Menurut sumber, beberapa siri pembongkaran telah dilakukan SPRM dalam tempoh dua hari lalu di sekitar Kuala Lumpur termasuk di ibu pejabat pertubuhan, kementerian dan sembilan syarikat yang mendapat projek berkaitan.

Iklan
Iklan

Sumber berkata, projek di bawah kementerian itu dianggarkan berjumlah RM1.8 billion telah dianugerahkan kepada pertubuhan terbabit bagi tempoh 30 bulan bermula 2021 hingga 2023.

Kata sumber, pertubuhan terbabit dipertanggungjawab untuk menghasilkan baja padi dan mengedarkannya kepada pesawah-pesawah di seluruh negara melalui pejabat pertubuhan di peringkat negeri masing-masing.

Iklan

"Hasil siasatan mendapati pertubuhan ini telah menggunakan dua kaedah untuk memenuhi kontrak kerajaan iaitu membeli terus baja-baja padi daripada lima syarikat pengeluar dan membeli bahan-bahan mentah bagi memproses baja daripada empat syarikat.

Selain itu katanya, siasatan juga menjurus kepada kesalahan salah guna kuasa yang mungkin berlaku yang mana ahli-ahli lembaga pengarah terlibat dalam membuat keputusan dalam pemilihan syarikat-syarikat berkepentingan.

Iklan

Menurut sumber, SPRM telah merampas dokumen-dokumen berkaitan projek tersebut di peringkat kementerian, pertubuhan dan syarikat berkaitan.

Tambahnya, enam orang pegawai di peringkat kementerian dan pertubuhan terbabit telah dipanggil SPRM untuk dirakam percakapan.

Sementara itu, Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki mengesahkan siasatan tersebut dan tidak menolak pihaknya akan menahan beberapa orang yang disyaki terlibat bagi membantu siasatan.

Beliau berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 16, Seksyen 18 dan Seksyen 23 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009.