BEAUFORT - Seorang pemuda terpaksa bergelut selama setengah jam untuk menyelamatkan diri daripada dibaham buaya dalam kejadian di Sungai Kampung Sarap, Menumbok, di sini Ahad lalu.
Airol Jumat, 18, berjaya menyelamatkan dirinya selepas mencucuk mata sang bedal tersebut.
Menurut bapanya, Jumat Aming, 45, kejadian itu berlaku sekitar jam 1.30 pagi ketika anaknya sedang mencari udang untuk dibuat umpan memancing.
"Memang biasa anak saya pergi memancing seorang diri dan sungai tersebut berhampiran dengan rumah kami.
"Anak saya kemudian turun ke sungai untuk mendapatkan rambatnya dan ketika itulah dia diserang buaya," katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Selasa.
Katanya, ketika kejadian air sungai berada paras pinggang namun anaknya telah ditarik ke tengah sungai oleh reptilia tersebut.
"Anak saya beritahu, awalnya tangan dia digigit dan ketika itu dia bergelut selama setengah jam untuk melepaskan diri.
"Bahagian kaki dan badannya turut digigit sepanjang dia bergelut. Dalam masa sama, dia mencari bahagian mata haiwan tersebut sebelum bertindak mencucuk matanya.
"Dia dilepaskan sebaik berjaya mencucuk mata buaya itu dan segera berenang menyelamatkan diri keluar dari sungai tersebut," katanya.
Ujar Jumat, anaknya segera dihantar ke Hospital Kuala Penyu sebelum dipindahkan ke Hospital Queen Elizabeth untuk dibedah.
"Beberapa bahagian anggota badan termasuk tangan, kaki dan pinggangnya cedera sehingga terpaksa dibedah.
"Namun dia kini beransur pulih tetapi masih berada di hospital untuk rawatan susulan," katanya.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Beaufort Deputi Superintenden Ismail Abdullah mengesahkan menerima laporan berhubung seorang lelaki diserang buaya di Menumbok.
"Mangsa mengalami luka kesan daripada gigitan buaya dan keadaan stabil ketika ini," katanya.