TIDAK mengambil masa lama berdiam diri, aktor Farid Kamil sekali lagi akan berusaha apa sahaja untuk menjernihkan kembali rumah tangganya bersama aktres Diana Danielle.
Jelas pemilik nama penuh Farid Kamil Zahari, 43, dia masih menyayangi isteri dan anak-anaknya.
"Alhamdulillah... saya sudah mendengar perkhabaran tersebut (hasrat Diana untuk bercerai kali kedua).
"Seperti semua orang maklum, saya sayangkan anak dan isteri saya.
"Saya akan berusaha apa sahaja untuk menjernihkan keadaan kembali. Insya-ALLAH, doakan yang baik-baik,” katanya menerusi video ringkas di Instagram miliknya.
Rata-rata pengikut dan rakan artis turut menyambut baik hantaran tersebut dan mendoakan rumah tangga pasangan itu kembali pulih.
Terdahulu, Diana mengumumkan sudah mengambil keputusan untuk berpisah dengan Farid dalam satu hantaran di media sosialnya.
"Saya ambil keputusan untuk secara rasmi berpisah daripada suami saya dan akan memfailkan perceraian,” kongsinya.
Pada perkongsian yang sama, Diana bagaimanapun memilih untuk mengunci mulut mengenai keputusan yang telah dibuat dan menyifatkan rujuk bukan sesuai buat semua orang.
"Tidak, saya tidak akan memberi penjelasan kenapa. Mungkin seperti biasa, dia akan datang dengan bunga, cincin dan janji kosong. Semoga bahagia,” tulisnya.
Untuk rekod, Diana dan Farid pernah bercerai dengan talak satu pada 10 Ogos tahun lalu namun kembali rujuk selepas sebulan berpisah.
Pasangan itu dikurniakan sepasang cahaya mata iaitu Muhammad, 11, dan Nur Aurora, 9 tahun.