Wanita paling ramai jadi mangsa Love Scam

Iklan
Kes love scam masih perlu diberi perhatian kerana impak kerugian yang diakibatkan oleh kes ini adalah besar. Foto hiasan

KES penipuan dalam talian dilihat semakin menjadi-jadi. Pelbagai cara dan modus operandi digunakan sindiket berkenaan untuk mengaut duit mangsa.

Antara jenis penipuan itu ialah scam tawaran pekerjaan, Macau Scam, Love Scam dan penipuan pelaburan.

Iklan
Iklan

Kerugian yang dialami bukan sahaja memberi impak negatif ke atas ekonomi negara malah boleh menjadi pencetus kepada masalah sosial secara umumnya.

la juga mendatangkan masalah kepada individu atau keluarga dari aspek kewangan yang turut menjejaskan kesihatan mental serta emosi mereka yang terbabit secara khasnya

Iklan

Mangsa penipuan cinta atau love scam di alam maya khususnya wanita disebabkan kesunyian, mahu mencari cinta sejati dan mudah percaya kata-kata cinta.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman, Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf dilaporkan berkata, terdapat beberapa aspek yang menyebabkan wanita mudah menjadi mangsa love scam.

Iklan

Menurut beliau, wanita sering dilihat sebagai lebih terbuka dalam aspek emosi dan hubungan peribadi dan hal itu dieksploit oleh sindiket dalam merangka strategi bagi menimbulkan rasa empati.

Selain itu, wanita yang mencari hubungan percintaan lebih mudah terpengaruh oleh kata-kata dan tindakan yang penuh kasih sayang, terutamanya apabila mereka merasa kesunyian atau kekurangan dalam hubungan mereka yang sebenar.

Katanya, wanita yang berharap menemukan cinta sejati juga terdorong untuk percaya pada cerita yang menarik walaupun adakalanya mungkin kelihatan tidak masuk akal.

Dalam pada itu, Ramli berkata, hasil analisis pihaknya mendapati tiada kategori umur tertentu yang disasarkan secara spesifik oleh sindiket love scam.

Sesiapa sahaja boleh menjadi mangsa kepada sindiket ini. Umpamanya, pada tahun 2022, jumlah mangsa tertinggi direkodkan dalam kategori umur 21 hingga 30 tahun dengan 211 individu.

Bagi tahun 2023, jumlah mangsa paling ramai direkodkan daripada kategori umur 41 hingga 50 tahun iaitu seramai 215 individu.

Seterusnya bagi tahun ini, setakat Ogos lalu, individu dalam kategori umur 21 hingga 30 tahun kembali menjadi mangsa paling ramai dengan 178 individu.

Ramli berkata, pada 2022, sebanyak 792 kes direkodkan membabitkan kerugian RM56.2 juta, manakala pada 2023, sebanyak 935 kes dengan kerugian RM43.9 juta.

Bagi tempoh tahun ini sehingga Ogos lalu, sebanyak 496 kes direkodkan membabitkan jumlah kerugian RM23.3 juta.

Menjelang akhir tahun ini, dijangka jumlah kes yang direkodkan akan melebihi atau menyamai jumlah kes bagi tahun terdahulu.

Ramli berkata, pihaknya komited untuk mengambil beberapa pendekatan bagi menyedarkan masyarakat untuk mencegah jenayah love scam.

Kes love scam masih perlu diberi perhatian kerana impak kerugian yang diakibatkan oleh kes ini adalah besar.

Sebelum ini, media melaporkan seorang pengarah sebuah syarikat kerugian RM1.25 juta selepas terpedaya dengan sindiket love scam.

Wanita berusia 60 tahun itu berkenalan melalui Facebook dengan seorang lelaki warga Singapura yang dikatakan menetap di United Kingdom.Dalam perkenalan mereka, wanita tersebut dimaklumkan lelaki itu akan datang ke Malaysia untuk mendapatkan projek sebuah syarikat minyak dan gas serta mahu berjumpa mangsa.

Bagi mendapatkan projek itu, lelaki tersebut meminta pengadu meminjamkan sejumlah besar wang modal dengan jaminan ia akan dipulangkan semula.

Percaya dengan janji diberikan, wanita itu telah membuat 11 pindahan wang ke dua akaun bank berjumlah RM1,256,000.

JSJK telah menyediakan beberapa platform bagi memudahkan masyarakat berinteraksi dengan pihak polis untuk sebarang pertanyaan, aduan atau menyalurkan maklumat berkaitan jenayah komersial.

Kesimpulan, semua pihak harus memainkan peranan sewajarnya dalam membanteras jenayah siber sehingga ke akar umbi.

Jangan sesekali memberi ruang kepada sindiket penipuan dengan tindakan yang kita ambil, elemen kebertanggungjawaban itu harus dipupuk bagi mengelakkan ada yang menjadi mangsa.

* Ahmad Ismadi Ismail ialah wartawan Meja Jenayah