KETUA Jurulatih Skuad Rusa, Sazali Saidun, mengakui masih belum berpuas hati dengan prestasi pemain pasukannya walaupun hanya tinggal tiga minggu sebelum perlawanan pertama musim 2020 bermula.
Katanya, persediaan pramusim pasukan itu disifatkan sebagai ‘kurang cantik’ selepas tewas dalam beberapa perlawanan persahabatan.
"Saya akui setakat ini persediaan pra musim kita kurang cantik, kita tewas dalam beberapa perlawanan persahabatan sebelum ini, mungkin kerana prestasi pemain kita masih turun naik.
"Faktor lain mungkin juga corak permainan yang cuba saya terapkan masih belum sesuai dengan keadaan sekarang, tetapi kita masih lagi mencari keserasian dan kesebelasan utama,” katanya selepas majlis Pelancaran Jersi dan Memperkenalkan Pemain Pasukan Liga Perdana 2020 di sini semalam.
Majlis itu disempurnakan Tunku Besar Tampin Tunku Syed Razman Tunku Syed Idrus Al-Qadri, merangkap Presiden Persatuan Bola Sepak Negeri Sembilan (PBNS).
Turut hadir Tunku Besar Seri Menanti Tunku Ali Redhauddin dan Tunku Zain Al'Abidin serta Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Pembangunan Belia dan Sukan negeri Datuk Mohamad Taufek Abd Ghani.
Mengulas lanjut, Sazali berharap menerusi dua lagi perlawanan persahabatan yang akan berlangsung pada 11 dan 14 Februari ini, kelemahan yang masih ada akan dapat diatasi.
"Saya harap dua perlawanan persahabatan iaitu menentang Pahang dan UiTM, kita dapat main dengan baik dan sekali gus dapat atasi kelemahan yang ada ketika ini.
"Kena banyakan latihan taktikal untuk memperbaiki kelemahan... Setakat ini juga program latihan berjalan dengan baik, semua pemain bebas dari kecederaan,” katanya.
Pada majlis itu, tiga jersi baharu tajaan Admiral diperkenalkan, iaitu warna kuning untuk aksi di laman sendiri, merah untuk perlawanan di tempat lawan, dan putih sebagai jersi ketiga.