SHAH ALAM - Kerajaan perlu memberi tekanan dan mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana syarikat atau pekerja industri gig yang masih berdegil untuk mencarum dengan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) serta Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO).
Penghantar makanan, Mohamad Iqmal Hakim Hisham, 23, berkata, caruman KWSP sangat penting untuk dijadikan simpanan pada hari tua dan seterusnya menjamin masa depan lebih baik bagi pekerja gig.
Menurutnya, sebelum ini pekerja gig tidak mempunyai keistimewaan itu dan hanya mengharapkan inisiatif sendiri untuk menyimpan setiap bulan.
"Jadi akta baharu yang bakal diperkenalkan kerajaan merupakan langkah baik untuk pastikan penghantar makanan terutamanya golongan muda mempunyai simpanan sendiri. Kalau dulu ramai lihat bekerja dalam sektor gig tidak terjamin kerana tidak mempunyai KWSP atau simpanan namun sekarang manfaatnya sama dengan pekerjaan lain.
"Saya sebagai penghantar makanan yang bekerja hampir lima tahun rasa amat gembira, sekurang-kurangnya kami tidak perlu risau mengenai simpanan masa hadapan. Apa yang diharapkan ialah kerajaan perlu memainkan peranan agar undang-undang itu dipatuhi.
Sebelum itu, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mengumumkan satu akta baharu berkaitan pekerja sektor gig akan digubal dalam usaha melindungi kebajikan pekerja di sektor berkenaan.
Beliau berkata, pembentangan rang undang-undang (RUU) berkenaan akan dibuat Kementerian Sumber Manusia (Kesuma) pada sidang Dewan Rakyat yang sedang berlangsung sekarang, setelah selesai sesi perbahasan Rang Undang-Undang Perbekalan 2025.
Tambah Mohamad Iqmal Hakim, sehingga kini banyak syarikat sektor gig tidak memberi jaminan dalam isu keselamatan pekerjanya walhal ia sangat penting.
"Isu tambang murah atau perjalanan yang semakin tidak masuk akal itu sudah menjadi lumrah sebagai pengantar tetapi paling menjadi keutamaan mengenai keselamatan.
"Oleh itu, dengan caruman KWSP dapat bantu kami apabila berlaku perkara tidak diingini seperti kos rawatan dan sebagainya,” ujarnya.
Sementara itu, Nik Muhammad Fitri Nik Rahiman, 23, yang juga bekerja sebagai penghantar makanan berpendapat undang-undang khusus yang melindungi kebajikan pekerja satu langkah yang amat dialu-alukan.
Ulasnya, ini kerana ramai di antara mereka tidak mempunyai perlindungan yang mencukupi disebabkan pekerjaan ini bersifat fleksibel.
"Jadi, sebuah akta yang memberi sokongan keselamatan sosial sangat penting untuk memastikan pekerja gig tidak terdedah kepada risiko kewangan atau kesihatan yang serius tanpa ada bantuan.
"Kami berharap agar akta ini mampu memberikan perlindungan sosial yang lebih menyeluruh, seperti caruman KWSP dan PERKESO.
"Di samping itu, faedah seperti insurans kesihatan serta bantuan perundangan atau platform aduan untuk menangani isu-isu ketidakadilan akan sangat membantu kami menghadapi cabaran dalam pekerjaan gig,” jelasnya.