Program i-Sayang kurangkan risiko perceraian

Iklan
Laporan Sinar Harian pada Selasa. (Gambar kecil: Bibi Sunita)

SHAH ALAM - Program i-Sayang dilihat mampu memberi kesan positif dalam sesebuah keluarga selain mengurangkan risiko penceraian pasangan suami isteri.

Pengerusi Pertubuhan Negarawati Tanahair (Negarawati), Bibi Sunita Sakandar Khan berkata, antara impak kepada program berkenaan ialah dapat mewujudkan suatu ikatan yang mampu mensejahterakan hubungan suami isteri dan keluarga.

Iklan
Iklan

Menurutnya, kesediaan suami membuat caruman kepada akaun Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) isteri membuktikan sikap tanggungjawab dan melindungi selain memastikan isteri sentiasa dalam keadaan terjamin menjelang hari tua.

"Caruman dua peratus tidak membebankan suami kerana ia satu kadar yang wajar,” katanya.

Iklan

Timbalan Menteri Kewangan, Lim Hui Ying berkata, jumlah itu melibatkan pindahan caruman sebanyak RM22.1 juta setakat Ogos lalu.

Program i-Sayang membolehkan suami memperuntukkan dua peratus daripada caruman KWSP bulanan syer pekerja secara sukarela ke akaun KWSP isteri.

Iklan

Bibi Sunita turut mencadangkan agar caruman i-Sayang dijadikan sebagai mandatori kepada suami terhadap isteri masing-masing dan pindahan dibuat automatik.

"Ini kerana isteri memainkan peranan besar dalam organisasi keluarga itu sendiri walaupun mungkin isteri mempunyai pekerjaan atau bergaji namun caruman dua peratus daripada suami merupakan satu usaha menghargai peranan isteri,” ujarnya.

Menurutnya, program i-Sayang adalah usaha yang baik selain langkah permulaan KWSP dalam membantu wanita yang bergelar isteri membabitkan simpanan hari tua serta kesejahteraan keluarga.

"Dengan adanya caruman tersebut, isteri pastinya gembira dengan sumbangan dan penghargaan daripada suami, malah sedikit sebanyak membantu isteri memiliki jaminan simpanan hari tua mereka,” jelasnya.

Dalam pada itu, Bibi Sunita berharap beberapa penambahbaikan perlu diberikan perhatian pada masa akan datang.

"KWSP juga perlu melihat kepada agihan caruman yang adil bagi suami yang mempunyai isteri melebihi seorang.

"Agensi itu juga perlu mengkaji kaedah terbaik sekiranya berlaku penceraian sepanjang tempoh caruman pindahan dua peratus itu kepada akaun KWSP isteri,” katanya.