PASIR MAS - Seorang penyeludup dicekup Batalion 8 Pasukan Gerakan Am (PGA) Pengkalan Chepa bersama selipar dan kasut pelbagai jenama bernilai RM55,100 di tepi Sungai Golok berhampiran pangkalan haram Pok Dir di sini pada Selasa.
Dalam serbuan jam 12.30 tengah malam itu, lelaki berusia 29 tahun terbabit dikesan melakukan aktiviti penyeludupan semasa anggota PGA melaksanakan penugasan Op Taring Wawasan.
Iklan
Iklan
Komander Briged Tenggara PGA, Senior Asisten Komisioner Datuk Nik Ros Azhan Nik Ab Hamid berkata, hasil pemeriksaan ke atas kenderaan pelbagai guna (MPV) jenis Naza Ria yang berada di pangkalan haram tersebut telah menemukan 196 pasang kasut serta 710 selipar dipercayai diseludup dari Thailand.
"Siasatan awal mendapati suspek mengambil upah menjadi penghantar untuk menyeludup barangan terbabit ke pasaran tempatan.
"Kes disiasat bawah Seksyen 135 (1)(d) Akta Kastam 1967. Suspek serta barang rampasan dibawa balik ke Komtak (Kompeni Taktikal) PGA Jeram Perdah untuk tindakan selanjutnya," katanya pada Rabu.