PUTRAJAYA - Rang undang-undang (RUU) Parlimen Israel (Knesset) yang mengharamkan Agensi Bantuan dan Kerja untuk Pelarian Palestin di Asia Barat (UNRWA) daripada beroperasi di Wilayah Pendudukan Baitulmaqdis, Tebing Barat dan Gaza merupakan sebagai serangan terang-terangan terhadap agensi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).
Malaysia menerusi Wisma Putra menegaskan, RUU itu seolah-olah menghalalkan tindakan rejim
Zionis Israel yang sengaja dan jelas melanggar undang-undang antarabangsa untuk menghapuskan UNRWA.
"Ini merupakan sebahagian daripada strateginya untuk menafikan hak rakyat Palestin untuk pulang ke tanah air mereka seperti didukung oleh Resolusi Perhimpunan Agung PBB 194.
"RUU ini juga sebagai strategi untuk mendatangkan kebuluran kepada mereka yang terselamat daripada bencana kemanusiaan dan genosid di Gaza," katanya dalam kenyataan pada Rabu.
Ujar Wisma Putra, rejim Zionis tidak mempunyai kedaulatan ke atas Palestin yang dijajah, termasuk Baitulmaqdis, di mana kehadiran UNRWA diktiraf melalui perjanjian antara Palestin dan PBB.
"UNRWA telah ditubuhkan oleh Perhimpunan Agung PBB dan telah memainkan peranan penting dalam menyediakan talian hayat untuk lebih 5.9 juta rakyat di Palestin dan pelarian Palestin di seluruh Timur Tengah dengan menyediakan perkhidmatan kritikal dalam pendidikan, perawatan kesihatan dan bantuan kemanusiaan, terutamanya semasa konflik berterusan," jelas Wisma Putra.
Tambahnya, Malaysia kekal teguh dalam komitmennya menyokong UNRWA.
"Masyarakat antarabangsa harus mengambil tindakan yang tegas dan segera terhadap RUU ini demi melindungi UNRWA dan juga demi menamatkan pembunuhan beramai-ramai terhadap rakyat Palestin," ujarnya.
Parlimen Israel mengharamkan UNRWA daripada beroperasi di Israel dan Baitulmaqdis Timur yang diduduki, walaupun terdapat bantahan masyarakat antarabangsa.
Penggubal undang-undang meluluskan RUU itu dengan 92 undi menyokong dan 10 menentang, selepas bertahun-tahun kritikan keras Israel terhadap UNRWA.
Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu mendakwa petugas UNRWA yang terbabit dalam aktiviti pengganas terhadap Israel mesti bertanggungjawab, namun bantuan kemanusiaan yang berterusan mesti kekal tersedia di Gaza.
Israel pada 22 Julai lalu telah memberikan kelulusan awal terhadap RUU yang mengisytiharkan UNRWA sebagai pertubuhan pengganas, sekali gus bercadang untuk memutuskan hubungan dengan badan itu.