KUALA LUMPUR -"Jasa beliau kepada kami sangat besar ertinya," itu reaksi individu yang hadir menyatakan sokongan kepada Datuk Seri Najib Tun Razak di luar bangunan Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur pada Rabu.
Mazlina Salleh, 47, berkata, dia bersama rakan-rakan lain dari UMNO Bahagian Pekan mula bertolak kira-kira jam 12 tengah malam sebelum tiba di Kuala Lumpur seawal jam 5 pagi.
"Saya bersama lebih 200 ahli UMNO Pekan datang dengan menaiki empat buah bas ke sini, tujuan kami hanya satu iaitu menyatakan sokongan kepada Datuk Seri Najib.
"Terlalu besar jasanya kepada kami, dan saya sendiri serta keluarga. Beliau yang banyak membantu sebelum ini, saya sentiasa mendoakan untuk beliau," katanya kepada Sinar Harian pada Rabu.
Sharifah Zainab, 67, berkata, Najib diingati sebagai pemimpin yang tidak memilih bulu dalam memberikan bantuan.
"Beliau bantu semua orang tidak mengira latar belakang politik, yang miskin serta daif sekiranya beliau mengetahuinya maka bantuan akan terus disalurkan.
"Saya sememangnya sentiasa mengikuti kes perbicaraan beliau sejak awal lagi, dan sepanjang tempoh itu memang saya sentiasa hadir di mahkamah untuk beri sokongan," katanya.
Alina Harun, 59, berkata, dia sentiasa berdoa yang terbaik untuk bekas pemimpin kesayangannya itu.
"Najib ini terlalu banyak jasanya kepada rakyat, dan ini dapat dilihat sendiri sewaktu beliau menjadi Perdana Menteri sebelum ini.
"Najib sentiasa di hati kami, dahulu, kini dan selamanya, semoga yang baik-baik sahaja buat beliau," katanya.
Kumpulan penyokong itu mula tiba di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur sekitar jam 7 pagi dan setia menanti kehadiran bekas Perdana Menteri itu.
Selepas enam tahun didakwa, nasib Najib sama ada diperintah bela diri atau dibebaskan daripada empat kes menggunakan kedudukan untuk suapan hampir RM2.3 bilion dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram babit wang sama, akan diputuskan Mahkamah Tinggi di sini pada Rabu.