ERIK ten Hag mendapat simpati dalam kalangan pengendali Liga Perdana Inggeris (EPL) sehari selepas beliau dipecat Manchester United.
United melantik penolong pengendali dan bekas penyerang The Red Devils, Ruud van Nistelrooy untuk mengambil alih sementara kelab yang berada di tangga ke-14 Liga Perdana Inggeris selepas sembilan perlawanan dan ke-21 Liga Europa.
Pengendali Manchester City, Pep Guardiola mengakui bersimpati dengan nasib menimpa Ten Hag.
"Saya mempunyai hubungan yang luar biasa dengan Ten Hag dan dia mewakili Manchester United di peringkat tertinggi dari segi tingkah laku.
"Permainan bola sepak sentiasa bergantung kepada keputusan, kita juga terdedah kepada risiko. Dia akan kembali lebih kuat.
"Saya mendoakan dia yang terbaik. Jika keputusannya tidak cukup baik, anda akan dipecat, jadi tiada apa yang berbeza dengan kami di sini termasuk saya sendiri,” katanya.
Dalam pada itu, pengendali Liverpool, Arne Slot menyifatkan pemecatan Ten Hag juga rakan senegara dari Belanda sebagai sesuatu yang 'kejam' tetapi percaya bekas pengendali kelab Ajax Amsterdam itu akan bangkit lebih bertenaga.
"Kami semua yang terlibat dalam tugas ini tahu ia boleh berlaku.
"Kami juga tahu, terutamanya betapa hebatnya dia di Belanda bersama Ajax (Amsterdam) dan dia memenangi dua trofi, jadi kami akan melihatnya kembali dalam masa terdekat bersama kelab besar,” kata Slot.
Pengendali Tottenham, Ange Postecoglou pula menegaskan dia tidak terkejut dengan perkhabaran yang menggegarkan liga teratas England tersebut.
"Saya rasa kecewa kerana ia tidak dapat dielakkan dengan komitmen diberikan Ten Hag selama ini. Segala-galanya yang berlaku adalah sifat bola sepak hari ini,” kata Postecoglou.
Jelas pengendali Spurs itu lagi, persekitaran juga menyukarkan Ten Hag melakukan tugas dengan cara yang lebih berkesan.
"Sebagai pengendali, anda perlu memperoleh kejayaan, bermain bola sepak yang semua orang suka dan pada masa sama anda perlu merekrut pemain dengan betul,” katanya.
Sebagai rekod, Manchester United menerima kunjungan Leicester City dalam perlawanan pusingan keempat Piala Liga di Old Trafford pada Khamis.