Transformasi digital LAP tingkat kualiti perkhidmatan

Iklan
LAP memastikan kecekapan pengurusan air negeri Perak dengan mengadaptasi teknologi terkini dalam meningkatkan kualiti perkhidmatan.

IPOH - Dalam memastikan kecekapan pengurusan air di negeri ini, Lembaga Air Perak (LAP) tidak mahu ketinggalan dalam Revolusi Perindustrian (IR) 4.0 yang menjadi dasar bagi meningkatkan kualiti perkhidmatan.

Menerusi transformasi digital yang dilaksanakan, LAP memperkenal serta mengadaptasi teknologi terkini dalam urusan hariannya agar kekal relevan dalam arus perdana.

Iklan
Iklan

Pengurus Besar LAP, Ir Lokman Abd Rahim berkata, bermula pada tahun 2018, hala tuju Transformasi Digital di LAP merupakan sebahagian daripada pelan pembangunan komprehensif yang menumpukan penggunaan teknologi pintar bagi meningkatkan mutu perkhidmatan serta menambah baik kecekapan operasi harian mereka.

Menurutnya, di bawah pelan pembangunan tersebut, LAP telah membangun dan menggunakan beberapa sistem teknologi maklumat yang berteraskan konsep mesin ke mesin (M2M).

Iklan

"Antara sistem teknologi maklumat yang telah berjaya dibangunkan dan digunakan kini termasuklah Sistem ESelenggara, Sistem EPerakuan, Sistem Pemantauan Kualiti Air, Sistem Pengurusan Air Tidak Berhasil, Sistem Pengurusan Aset Bekalan Air, Sistem Pemetaan Digital Aset Bekalan Air, MyLAPApps dan sebagainya.

Transformasi digital di bawah IR 4.0 membantu LAP menguruskan aset dan perbekalan kualiti air kepada pengguna.

"Dengan kemajuan teknologi komunikasi kepelbagaian internet (IoT), sebahagian daripada sistem yang telah dibangunkan ini mampu berkomunikasi dan berkongsi data secara M2M dan kemudiannya dikongsi serta dikemaskini di dalam sistem pemetaan digital (GIS),” katanya.

Iklan

Beliau berkata, keseluruhan data yang dijana melalui kaedah pengumpulan data yang komprehensif dan berpusat itu dijangka mampu membantu LAP dari aspek keperluan kawal selia.

Beliau berkata, data-data yang dikumpul membantu dalam mengawal selia yang meliputi liputan bekalan, gangguan bekalan air, kualiti air terawat, tekanan air, kawalan kehilangan air, aduan pengguna, keberkesanan kutipan bil dan sebagainya.

Melalui transformasi digital yang dilaksana di bawah dasar IR 4.0 ini membolehkan LAP membuat keputusan dengan lebih mudah, jitu, tepat, cepat dan berkesan.

Dengan dibantu kewujudan teknologi BigData Business Intelligence dan kecerdasan buatan (AI), ia sekali gus dapat meningkatkan tahap kepuasan pengguna dan menutup jurang perkongsian data digital industri utiliti air pada ketika ini.

Dalam memastikan kelestarian sumber air, Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak pada 27 September tahun lalu meluluskan Rang Undang-Undang Sumber Air (RUUSA) Perak 2023 yang bertujuan memansuhkan Akta Air 1920 serta mengadakan peruntukan baharu pengurusan bersepadu penggunaan, pembangunan dan perlindungan sumber air di negeri itu.

RUU tersebut bertujuan memastikan kawal selia pengurusan sumber air negeri diperkemas melalui mekanisme perlesenan dan penguatkuasaan dengan memberi penekanan khusus kepada kawalan pencemaran dan perlindungan sumber air, bagi menjamin kelestarian sumber air untuk rakyat Perak.

Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah amat mengambil berat terhadap keperluan menjaga sumber air terutama sungai dan perkara itu dititahkan ketika baginda melancarkan Buku Tafsir Maudhu’iy Sungai-Perspektif Islam Tentang Alam Sekitar di Auditorium Institut Asia-Eropah (AEI) di Universiti Malaya, Kuala Lumpur pada 25 September 2023.

Menurut baginda, masyarakat perlu diinsafkan bahawa manusia dan alam sekitar saling berkait rapat, malah tahap kesihatan ekosistem sungai menggambarkan ‘hati’ masyarakat setempat.

Sultan Nazrin turut menyeru agar dirumuskan suatu kerangka baharu yang lebih segar, teratur dan berdaya maju untuk menangani kelemahan pengurusan lembangan sungai.