Najib diperintah bela diri semua 25 kes 1MDB

Iklan
Najib (tengah) hadir di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur pada Rabu. Foto AFP

KUALA LUMPUR - [DIKEMAS KINI] Datuk Seri Najib Tun Razak diperintah bela diri oleh Mahkamah Tinggi di sini pada Rabu, atas empat kes menggunakan kedudukan untuk suapan hampir RM2.3 bilion dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram babit wang sama.

Hakim, Datuk Collin Lawrence Sequerah (kini hakim Mahkamah Rayuan) memutuskan demikian selepas mendapati pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie di akhir pendakwaan.

Iklan
Iklan

Ketika membaca keputusan penghakimannya dalam bahasa Inggeris, Collin berkata, semua pertuduhan yang dipertuduhkan ke atas Najib, 71, tidak cacat selain mahkamah mendapati saksi-saksi adalah relevan semasa memberi keterangan.

"Selepas membuat penilaian maksimum, pihak pendakwaan juga didapati telah membuktikan intipati bagi semua pertuduhan itu.

Iklan

"Oleh itu, saya memerintahkan tertuduh untuk membela diri bagi semua kes,” katanya.

Najib kemudiannya diberi tiga pilihan iaitu pertama, memberi keterangan secara bersumpah dengan pihak pendakwaan diberikan peluang untuk menyoalnya semasa pemeriksaan balas.

Iklan

Pilihan kedua, beliau boleh memberi kenyataan tidak bersumpah daripada tempat saksi tanpa pemeriksaan balas oleh pihak pendakwaan manakala pilihan terakhir, bekas Ahli Parlimen Pekan ini boleh berdiam diri dan tidak menjawab pertuduhan.

Sementara itu, peguam, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah berkata, anak guamnya tidak mempunyai apa-apa perkara yang mahu disembunyikan.

"Najib mengambil pilihan pertama, beliau akan memberi memberikan keterangan daripada kandang saksi,” katanya.

Pada 30 Mei lalu, prosiding kes pendakwaan berhubung penyelewengan dana RM2.3 bilion milik 1MDB, di Mahkamah Tinggi akhirnya tamat, selepas 50 individu selesai memberi keterangan terhadap bekas Presiden UMNO itu.

Antara saksi itu ialah bekas Pengerusi 1MDB, Tan Sri Mohd Bakke Salleh; bekas Ketua Pegawai Eksekutif 1MDB, Datuk Shahrol Azral Ibrahim Halmi dan bekas Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM), Tan Sri Dr Zeti Akhtar Aziz.

Saksi pendakwaan ke-50, bekas peguam 1MDB, Jasmine Loo Ai Swan yang sebelum ini melarikan diri ke luar negara dan kemudian menyerah diri kepada pihak berkuasa pada 7 Julai 2023 lalu, merupakan saksi terakhir dipanggil.

Prosiding di peringkat pendakwaan terbabit, bermula pada 28 Ogos 2019 dan ia berlangsung selama 235 hari.

Dalam kes ini, pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Kamal Baharin Omar, Ahmad Akram Gharib dan Mohamad Mustaffa P Kunyalam.

Sementara pembelaan bagi pihak bekas Ahli Parlimen Pekan ini, dibarisi peguam-peguam, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah, Alaistair Brandah Norman dan Wan Azwan Aiman Wan Fakhruddin.

Bekas Ahli Parlimen Pekan itu menghadapi empat pertuduhan menggunakan kedudukannya untuk memperoleh suapan berjumlah hampir RM2.3 bilion dalam dana 1MDB dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan jumlah sama.

Bekas Presiden UMNO ini didakwa melakukan kesalahan itu di AmIslamic Bank Berhad, Bukit Ceylon di sini antara 24 Februari 2011 dan 19 Disember 2014 manakala bagi pertuduhan pengubahan haram pula antara 22 Mac 2013 dan 30 Ogos 2013 di lokasi sama.

Pertuduhan itu adalah mengikut Seksyen 23 (1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan denda sehingga lima kali jumlah atau nilai suapan atau RM10,000 yang mana lebih tinggi.

Bagi 21 pertuduhan lagi, Najib didakwa membabitkan diri dalam pengubahan wang haram iaitu menerima, memindahkan dan membayar jumlah sama hasil daripada aktiviti haram.

Ia membabitkan 16 pertuduhan menerima wang hasil aktiviti haram daripada akaun Tanore Finance Corporation di Falcon Private Bank, Singapura ke akaun AmIslamic Bank Berhad miliknya sebelum memindahkannya semula ke akaun milik Tanore semula berjumlah RM2,196,786,711.87.

Bagi lima pertuduhan lagi, Najib didakwa menggunakan hasil daripada aktiviti haram sebanyak RM20,000,000 untuk dibayar kepada Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu (UMNO), RM100,000 dibayar kepada UMNO Bahagian Batu Kawan, RM246,000 kepada Lim Soon Peng, RM2,000,000 kepada ORB Solutions Sdn Bhd dan RM303,000 kepada Semarak Konsortium Satu Sdn Bhd.

Bagi semua perbuatan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 4(1)(a) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan 2001 yang membawa hukuman denda maksimum RM5 juta atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi lima tahun, atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.