SUNGAI PETANI – Sepasang suami isteri termasuk Orang Kurang Upaya (OKU) trauma selepas disamun tiga lelaki dalam kejadian di pusat urutan tradisional di sini kira-kira jam 11 pagi, 8 Januari lalu.
Mangsa, Zainab Ismail, 63 dan suami yang cacat penglihatan ketika itu berada di pusat berkenaan selepas baharu sahaja selesai melakukan urutan kepada dua orang pelanggan sebelum didatangi tiga lelaki tidak dikenali yang mencurigakan.
Menurutnya, salah seorang suspek mengugut ingin mencederakan dengan mengeluarkan sebilah pisau dan mengarahkan agar menyerahkan kesemua barangan beharga.
"Akibat kejadian, mereka telah merampas rantai leher, gelang tangan, sepasang subang dan wang tunai kira-kira RM1,500,” katanya.
Menurut Zainab, selepas suspek melarikan diri, dia segera mendapatkan suami di bahagian hadapan.
"Alangkah terkejut apabila melihat pakcik telah diikat dan mulut ditutup dengan pita sellotape. Dalam masa sama, pakcik juga mengadu sakit leher akibat dicekik mereka,” katanya.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Adzli Abu Shah berkata, siasatan dijalankan mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan.
Menurutnya, selain siasatan yang masih diteruskan, pihaknya juga mengarahkan Skuad Aman Wanita dikenali sebagai Amanita untuk melakukan kunjungan terhadap mangsa bagi memulihkan trauma yang dihadapi selepas kejadian.
"Amanita daripada Bahagian Siasatan Jenayah Daerah Kuala Muda diketuai Pegawai Risikan Jenayah, Asisten Superintenden Farhana Ishak mengadakan lawatan ke atas mangsa bersama Koperal Hasnah Md Saad daripada D4 dan Detektif Koperal Zahurin Ngah Nasir daripada D7,” katanya.
Menurutnya, semasa lawatan, mangsa menyambut baik kunjungan Amanita di mana sepanjang perbualan juga turut memperolehi maklumat yang boleh membantu siasatan.
"Amanita juga akan melakukan kunjungan berkala setelah mereka kembali membuka perniagaan kelak bagi mengurangkan kebimbangan dan trauma,” katanya.
Difahamkan, lawatan Amanita adalah yang pertama dilakukan IPD Kuala Muda pada 2019 dan lawatan berkenaan akan diteruskan dari masa ke semasa bertujuan membantu mangsa yang mengalami trauma atas kejadian jenayah.