Peniaga rugi RM800,000 ditipu tender makanan tidak wujud

Iklan
Seorang peniaga kerugian RM800,000 selepas ditipu sindiket menawarkan tender pelaburan tidak wujud bagi membekal makanan ke sekolah.

BATU PAHAT- Seorang peniaga kerugian RM800,000 selepas ditipu sindiket menawarkan tender pelaburan tidak wujud bagi membekal makanan ke sekolah.

Ketua Polis Daerah Batu Pahat, Asisten Komisioner Shahrulanuar Mushaddat Abdullah Sani berkata, kejadian dipercayai berlaku selepas lelaki berusia 48 tahun itu mengadakan pertemuan di daerah ini, pada awal tahun lalu.

Iklan
Iklan

"Dalam pertemuan itu, mangsa ditawarkan tender pelaburan membekal makanan ke sekolah bermula 1 Jun 2023 hingga 31 Oktober 2025 dengan dijanjikan keuntungan sebanyak 17 peratus daripada pelaburan itu dan telah bersetuju untuk menyertai pelaburan tersebut.

"Mangsa kemudiannya menyerahkan cek secara berperingkat bermula Februari hingga Oktober tahun lalu, berjumlah RM800,000 atas nama suspek menerusi serahan tangan serta memasukkan dalam mesin cek deposit," katanya dalam kenyataan.

Iklan

Shahrulanuar berkata, setelah menyertai pelaburan tersebut, mangsa telah dijanjikan akan mendapat pulangan keuntungan dalam masa terdekat.

"Bagaimanapun sehingga laporan polis dibuat pada Selasa, mangsa tiada menerima sebarang pulangan keuntungan dan suspek juga telah gagal dihubungi.

Iklan

"Siasatan lanjut masih dijalankan dan kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan," katanya.