SHAH ALAM - Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) akan terus memperkukuh usaha terhadap kelestarian dan daya tahan bekalan air sejajar dengan Pelan Hala Tuju Transformasi AIR 2040 (AIR 2040).
Ketua Pegawai Eksekutif Air Selangor, Adam Saffian Ghazali berkata, tujuan utama usaha itu ialah bagi memastikan operator air mencapai keseimbangan antara pemeliharaan alam sekitar dan kestabilan kewangan.
Menurutnya, hasrat tersebut sejajar dengan pelan hala tuju kelestarian dan ketahanan pengurusan air negara.
"Teknologi dan inovasi penting dalam mencapai pengurusan air yang mampan dan cekap, selaras dengan matlamat AIR 2040 bagi memastikan kelangsungan sumber air yang lestari.
"Ia bagi menjamin kelangsungan sektor air dalam jangka panjang, keseimbangan antara pemeliharaan alam sekitar dan kestabilan kewangan,” katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.
Mengulas lanjut, menurut Adam Saffian, usaha mengurangkan air tidak terhasil (NRW) juga memainkan peranan penting dalam meningkatkan kecekapan operasi, memastikan lebih banyak air sampai kepada pengguna dan mengoptimumkan sumber sedia ada.
Tambahnya, dalam merealisasikan visi untuk menjadi penyedia perkhidmatan air terkemuka di Asia, syarikat tersebut akan meneruskan usaha bagi menyediakan bekalan air terawat yang bersih dan selamat kepada 9.62 juta pengguna di Selangor, Kuala Lumpur serta Putrajaya.
"Kami di Air Selangor bersedia untuk menyumbang secara aktif dalam menjayakan matlamat transformasi sektor air Malaysia,” katanya.