LEGENDA Manchester United, Paul Scholes telah memberi amaran kemungkinan Ruben Amorim akan menjadi satu lagi kegagalan buat pasukan itu sama seperti dialami Erik Ten Hag.
Laporan menyebut bahawa United dalam proses untuk menggantikan Ten Hag selepas pengendali kelahiran Belanda itu dipecat pada Isnin.
Kekalahan 1-2 kepada West Ham pada Ahad adalah faktor terakhir bagi pengurusan Red Devils apabila mereka memecat Ten Hag dan kini sanggup membayar klausa pelepasan 10 juta euro (£8.3 juta) untuk mendapatkan Amorim yang berusia 39 tahun.
Pakar bola sepak Sepanyol, Guillem Balague mendakwa bahawa United juga telah cuba mendapatkan pengendali Fulham, Marco Silva ketika mereka mencari pengganti yang sesuai untuk Ten Hag.
Bekas pemain tengah United, Scholes kecewa kerana Red Devils terlepas bekas bos Chelsea, Thomas Tuchel, yang mengambil alih tugas England awal bulan ini selain berpendapat Xavi boleh menjadi pilihan yang baik.
Scholes turut memberi amaran kepada Red Devils bahawa Amorim boleh menjadi satu lagi kegagalan seperti Ten Hag.
"Saya rasa United telah terlepas (Tuchel). Saya fikir mereka telah berhubung dengannya tetapi saya tidak terlalu pasti.
"Manchester United adalah kelab terbesar di dunia, jadi mereka memerlukan yang terbaik daripada yang terbaik. Jika mereka mahu mengambil Xavi ia adalah satu risiko.
"Tetapi dia (Xavi) berjaya di peringkat elit dengan kelab yang hampir sama dengan Manchester United di Sepanyol bersama Barcelona. Mereka memenangi liga menentang pasukan Carlo Ancelotti (Real Madrid) dalam keadaan sukar, jadi saya juga melihat Xavi sangat sesuai.
"Ada Zinedine Zidane yang sangat berjaya di Real Madrid. Sama ada dia mahu datang ke England, saya tidak pasti.
"Amorim pula, dia agak sama seperti Ten Hag, mengendalikan pasukan dengan baik dalam liga yang tidak begitu terkenal atau sama kedudukannya dengan liga lain di Eropah, tetapi telah melakukannya dengan sangat baik," katanya.