JOHOR BAHRU - Ketua Pegawai Eksekutif GISB Holdings Sdn Bhd (GISBH), Datuk Nasiruddin Mohd Ali, memfailkan permohonan habeas corpus (penahanan salah) di Mahkamah Tinggi di sini, pada Rabu.
Ia bagi mencabar penahanannya mengikut Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) 2012 (SOSMA 2012).
Permohonan itu difailkan barisan peguam diketuai Datuk Rosli Kamaruddin, Najib Zakaria, Boestamam Ahmad dan Dorina Abdullah.
Permohonan yang sama turut difailkan isteri Nasiruddin, Datin Azura Md Yusof, 57, dan Mohamad Suhaimi Mohd Sani, 28.
Nasiruddin, Azura dan Shuhaimi selaku pemohon menamakan Menteri Dalam Negeri, Ketua Polis Negara, Pendakwa Raya, Pengarah Penjara Negeri Selangor dan Wilayah Kuala Lumpur dan kerajaan Malaysia, sebagai responden.
Berdasarkan permohonan itu, perintah supaya writ habeas corpus dikeluarkan bagi membebaskan pemohon daripada tangkapan dan penahanan tidak sah responden selain pemohon perlu dibawa ke mahkamah secepat mungkin.
Hakim Datuk Abu Bakar Katar seterusnya menetapkan 4 Disember depan bagi pendengaran permohonan habeas corpus berkenaan bagi membolehkan peguam pemohon dan responden memberikan hujahan masing-masing.
Peguam responden diwakili Peguam Persekutuan, Mohamad Firdaus Saidani Ali dan tiga peguam Majlis Peguam Malaysia, R Jayabalan, Fadhil Ihsan Mohamad Hassan dan Khairul Azwad, yang memantau bagi kepentingan awam.
Sementara itu, Datuk Rosli Kamaruddin ketika ditemui di pekarangan mahkamah berkata, terdapat beberapa afidavit akan difailkan bagi menyokong permohonan habeas corpus sebelum pendengaran kes bersambung pada 4 Disember ini di Mahkamat Tinggi Johor Bahru.
Jelasnya, permohonan sama akan difailkan di Selangor dan Kuala Lumpur dalam masa terdekat.
"Kita failkan (permohonan habeas corpus) bermula di Johor Bahru kerana siasatan membabitkan juga kes-kes di sini dan premis perniagaan yang disiasat antaranya berada di Johor Bahru.
"Ini adalah hak tertuduh bagi mempertikaikan penahanan dibuat begitu juga akan ada permohonan dibuat bagi mempertikaikan tuduhan dibawah jenayah terancang," katanya.
Pada 23 Oktober lalu, Nasiruddin, Azura dan Suhaimi dilaporkan dituduh atas pertuduhan menjadi ahli kumpulan jenayah terancang mengikut Akta 130V (1) di Mahkamah Sesyen Selayang.
Bagaiamanapun, tiada pengakuan direkodkan daripada mereka dan kesemua 19 individu lain kerana kes itu mengikut Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA) berada bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.
Mengikut pertuduhan, kesemua 13 lelaki dan sembilan wanita berkenaan menjadi ahli kumpulan jenayah terancang di 33-B, Jalan Desa 1/1, Bandar Country Homes Rawang, antara Oktober 2020 hingga 11 September 2024.