JOHOR BAHRU - Reman terhadap tiga individu yang ditahan polis kes culik seorang ahli perniagaan dan minta wang tebusan RM20 juta pada 13 Oktober lalu disambung selama tujuh hari.
Perintah reman terhadap dua lelaki dan seorang wanita warga Vietnam itu sehingga 6 November itu dikeluarkan Penolong Pendaftar Mahkamah Majistret Johor Bahru, Chai Ing Hien.
Ia membolehkan siasatan lanjut dijalankan polis terhadap kesemua suspek mengikut Akta Penculikan 1962.
Sebelum ini, ketiga- tiga suspek berusia 30-an itu telah ditahan reman selama seminggu bagi membantu siasatan kes berkenaan.
Pada Selasa, mahkamah yang sama membenarkan reman terhadap 10 suspek yang ditahan polis bagi membantu siasatan kes penculikan seorang ahli perniagaan, disambung selama tujuh hari.
Turut direman ialah seorang suspek lelaki tempatan berusia lingkungan 30-an yang ditahan di kawasan Senai pada Isnin.
Ketua Polis Johor, Datuk M Kumar dilaporkan berkata, pihaknya telah menahan 13 individu berusia 23 hingga 58 tahun itu dalam beberapa siri tangkapan di sekitar negeri ini.
Beliau berkata, salah seorang daripada yang ditahan itu merupakan ahli keluarga mangsa.
Berdasarkan laporan sebuah akhbar berbahasa Cina tempatan, keluarga ahli perniagaan itu mendakwa terpaksa membayar RM20 juta bagi tujuan membebaskan mangsa.