Sorok rokok seludup bernilai setengah juta dalam bilik rahsia

Iklan
Rohaizad menunjukkan gambar bilik rahsia yang ditemui di sebuah rumah di Permatang Pauh yang dijadikan stor untuk menyimpan rokok tidak berkastam.

BUTTERWORTH - Intipan dan risikan selama seminggu berjaya membongkar rahsia sebuah rumah di Permatang Pauh di sini yang dijadikan stor simpanan rokok seludup dalam serbuan yang dilakukan 8 Oktober lalu.

Sejumlah 1,543,100 batang rokok putih dan 450,120 batang rokok kretek pelbagai jenama ditemukan disorokkan dalam satu bilik rahsia di tingkat bawah rumah berkenaan.

Iklan
Iklan

Pengarah Jabatan Kastam Pulau Pinang, Rohaizad Ali berkata, kesemua rokok yang dirampas bernilai RM581,254 dan melibatkan cukai berjumlah RM1.373 juta.

Menurutnya, ketika serbuan dilakukan mendapati rumah tidak berpenghuni namun pemeriksaan lanjut dibuat berjaya menemui sebuah bilik rahsia yang ditutup dengan sebuah almari yang telah direka khas.

Iklan

"Siasatan mendapati rumah teres berkenaan disewakan sejak dua tahun kepada warga asing namun kita percaya rumah berkenaan digunakan sebagai stor untuk menyimpan rokok tidak berkastam.

"Rokok-rokok ini dipercayai dibawa masuk dari negara jiran dan dijual untuk pasaran tempatan," katanya pada sidang akhbar di Stor Penguatkuasaan Kastam, di sini pada Rabu.

Iklan

Rohaizad berkata, seorang lelaki berusia 70 tahun yang merupakan pemilik rumah berkenaan ditahan untuk membantu siasatan.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967 kerana menyimpan barangan belum lulus cukai atau barang larangan.

Jika disabit salah, lelaki terbabit boleh dikenakan denda tidak kurang daripada 10 kali ganda nilai barangan atau RM100,000 yang mana lebih tinggi dan tidak lebih daripada 20 kali ganda nilai barangan bagi kesalahan pertama atau RM500,000 bagi kesalahan kedua dan seterusnya yang mana lebih tinggi.

Pesalah juga boleh dihukum penjara tidak kurang daripada enam bulan dan tidak lebih dari lima tahun atau kedua-duanya sekali.

Siasatan juga dijalankan mengikut Seksyen 74 (1)(e) Akta Eksais 1976 kerana kesalahan cubaan mengelakkan dengan frod duti eksais.

Jika sabit kesalahan, mahkamah boleh mengenakan denda tidak kurang 10 kali amaun duti eksais atau RM100,000, mengikut mana-mana amaun yang lebih besar dan tidak lebih daripada 20 kali amaun duti eksais atau RM500,000, mengikut mana-mana amaun yang lebih besar atau pemenjaraan selama tempoh tidak kurang daripada enam bulan dan tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya.